COVID-19: 142 Kes Baharu Dan Dua Kematian – KP Kesihatan

PUTRAJAYA, 1 April – Sebanyak 142 lagi kes positif COVID-19 dicatatkan sehingga 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan ialah 2,908, manakala dua lagi kes kematian dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kematian akibat COVID-19 setakat ini ialah 45 kes, iaitu 1.55 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya seramai 102 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 66 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya kes kematian ke-44 (kes ke-193) merupakan wanita warganegara Malaysia berumur 80 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung.

“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 (kes ke-115). Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 13 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 31 Mac (semalam) pukul 4.30 pagi,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kes kematian ke-45 (kes ke-1,053) pula merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

“Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif COVID-19 (kes ke-486). Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 17 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 31 Mac, pukul 10.46 malam,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata ketika ini terdapat 2,359 sukarelawan yang telah menawarkan diri daripada pelbagai kategori untuk bersama mendepani wabak COVID-19.

Mereka terdiri daripada 65 pakar perubatan pelbagai bidang, 159 pegawai perubatan, 909 jururawat, 220 juruteknologi makmal perubatan dan 704 penolong pegawai perubatan.

Selain itu, 106 juru X-ray, 56 fisioterapi, 70 pegawai sains (mikrobiologi), tujuh pegawai farmasi, 44 penolong pegawai farmasi, 11 pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan, dua pegawai psikologi dan enam kaunselor.

Dr Noor Hisham berkata KKM sangat mengalu-alukan lebih ramai sukarelawan, dan mereka yang ingin berkhidmat menyertai pasukan bantuan kesihatan dan perubatan COVID-19 boleh mengisi Borang Pendaftaran Anggota Sukarelawan Pasukan Bantuan Kesihatan Dan Perubatan COVID-19.

Kepada mereka yang ingin berbakti di fasiliti kesihatan awam seperti di klinik kesihatan, pejabat kesihatan daerah, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan sebagainya, mereka boleh mengisi borang pada pautan:
https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSdnO5pPnHNCFlQ9QnaNk224JI0nZBcvNh4wKasLFpxfbAsMKQ/viewform?usp =pp_url .

Bagi mereka yang ingin berbakti di hospital KKM, mereka boleh mengisi borang pada pautan:
https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLScTmWCBfjKeKK8pLHU26HAsZPn3pIbs8LzXESb9Jx7gKyxJLg/viewform?usp= sf_link . – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.