Beberapa Jalan Di Klang Ditutup Sepenuhnya Mulai Esok

SHAH ALAM, 31 Mac – Beberapa jalan di sekitar Klang akan ditutup sepenuhnya mulai esok hingga 14 April ini bagi mengurangkan pergerakan orang awam sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Nurulhuda Mohd Salleh berkata jalan yang akan ditutup adalah di Kilometer (KM) 3.5 Jalan Shapadu Lama; KM3.7 Jalan Shapadu Lama ke Rantau Panjang; Jambatan Raja Muda Nala (Jalan Tanjung Syawal); Jambatan Musaeddin (Jalan Batu Tiga Lama); dan Jalan Paip/Jalan Bukit Cherakah.

“Orang ramai disaran mematuhi PKP dan menggunakan jalan alternatif yang disediakan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli dalam kenyataannya pula berkata Jalan Tengku Kelana di bandar Klang juga akan ditutup sepenuhnya.

Selain itu kata beliau, lima sekatan jalan raya akan dilakukan 24 jam sehari di sekitar Klang Selatan sehingga berakhirnya PKP iaitu di Persiaran Kota; Batu 2 Jalan Langat; KM24.3 Lebuhraya Kesas; persimpangan lampu isyarat Jalan Bukit Jati dan Jalan Kampung Jawa.

“Orang awam yang mempunyai sebarang pertanyaan atau aduan berkaitan PKP boleh menghubungi Polis Klang Selatan di talian 03-33762400,” katanya.

Di PETALING JAYA, sekatan jalan raya di sekitar daerah itu akan dipertingkat dari semasa ke semasa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata setakat ini, pihaknya telah melaksanakan 11 sekatan jalan raya dan menutup empat jalan di daerah ini.

Mengenai tindakan seorang wanita mengeluarkan kata-kata kesat kepada polis hari ini, beliau berkata wanita itu kini ditahan untuk siasatan lanjut.

“Wanita itu mungkin tidak berpuas hati kerana terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Kami hanya laksanakan tugas demi keselamatan orang ramai dan semua pihak perlu faham,” katanya kepada pemberita ketika meninjau sekatan jalan raya di Persiaran Surian di sini, hari ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.