Harga Siling Penutup Hidung Dan Mulut RM1.50 Seunit Mulai 1 April

PUTRAJAYA, 30 Mac – Kerajaan menetapkan harga siling baharu bagi penutup hidung dan mulut atau topeng muka adalah RM1.50 seunit berkuat kuasa 1 April ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata harga baharu itu lebih murah berbanding yang ditetapkan sebelum ini iaitu RM2.00 seunit.

“Topeng muka tidak banyak dikeluarkan dalam negara tetapi kebanyakannya diimport, jadi kita juga terikat dengan harga yang diimport.

“Kita akan terus mengkaji dari semasa ke semasa harga (topeng muka) itu dan jika didapati harga yang dibeli sudah pun menurun daripada harganya, kita berkemungkinan kaji balik dan umum harga baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di sini hari ini.

Dalam pada itu, ditanya mengenai sama ada kerajaan akan menetapkan harga bagi cecair pembasmi kuman, Ismail Sabri menjelaskan perkara itu akan dibincangkan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sekiranya ada keperluan.

Beliau berkata situasi harga barangan cecair pembasmi kuman berbeza dengan situasi harga penutup hidung dan mulut memandangkan barangan berkenaan mempunyai jenama yang berbeza-beza.

“Setakat ini, KPDNHEP belum menetapkan harga untuk cecair pembasmi kuman kerana barangan ini mempunyai jenama yang berbeza dan harganya mungkin berbeza kerana ada yang diimport dan tempatan.

“Jadi kita tiada lagi ketetapan harga terkawal untuk cecair pembasmi kuman, berbeza dengan topeng muka. Namun, saya akan berbincang dengan pihak KPDNHEP jika ada keperluan,” kata Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan.- BERNAMA