COVID -19 : Hishammuddin Zahir Ucapan Terima Kasih Kepada Bantuan Perubatan UAE

KUALA LUMPUR, 30 Mac – Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menghulurkan bantuan peralatan perubatan kepada Malaysia hari ini.

Menerusi catatannya di laman Facebook rasmi, Hishammuddin berkata semua peralatan perubatan berupa kit ujian COVID-19 itu, akan diserahkan terus kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk diagihkan kepada pihak yang memerlukan, khususnya petugas barisan hadapan.

“Saya juga bersyukur kerana susulan perbualan telefon saya dengan Menteri Luar Negeri UAE, Sheikh Abdullah bin Zayed Al-Nahyan tempoh hari, selain bantuan peralatan perubatan yang kita terima hari ini, UAE dan Malaysia turut bekerjasama rapat dengan berkongsi maklumat, kepakaran serta strategi untuk memerangi #COVID19.

“Perkongsian (maklumat) ini termasuklah melalui video conference yang diadakan setiap hari melibatkan Taskforce Covid-19 Wisma Putra dengan kepimpinan tertinggi Kerajaan UAE,” katanya.

Hishammuddin juga berharap kerjasama erat ini berupaya membantu kedua-dua negara menangani krisis ini dengan sebaik mungkin.

Setakat tengah hari tadi, sebanyak 156 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes yang positif di negara ini sebanyak 2,626 kes dengan 37 kes kematian sehingga ini.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.