COVID -19 : Cahaya Di Hujung Terowong

Corona virus atau dinamakan COVID-19 kini sudah mewabak ke seluruh dunia dan menjadi krisis global.

Di negara kita, sehingga semalam 150 kes baru dilaporkan menjadikan jumlah positif COVID-19 ini 2,470 kes.

CPRC (Crisis Preparedness and Response Centre) Kebangsaan melaporkan, daripada jumlah itu, negara kita telah mencatat 34 kematian, 73 kes positif dirawat di ICU dan 52 kes perlu bantuan pernafasan.

Apakah seseorang yang dijangkiti COVID-19 ini tiada harapan langsung? Nanti dulu. Jangan panik.

CPRC juga melaporkan bahawa dalam tempoh 24 jam lalu, 68 kes telah pulih dan discaj. Jumlah mereka yang pulih sepenuhnya dan discaj daripada wad kini berjumlah 388 kes.

Sehingga kini, pelbagai usaha positif telah dilakukan oleh pihak yang berautoriti dalam negara kita untuk menangani wabak ini.

Malah, dua hari lalu kerajaan juga sudah mengumumkan beberapa pakej bantuan untuk meringankan beban rakyat yang terjejas akibat PKP.

Ketua Pengarah Kesihatan, dua hari lalu memaklumkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memilih Malaysia untuk menguji keberkesanan ubat merawat pesakit COVID-19 yang dikenali sebagai Remdesivir.

Ubat itu yang dihasilkan Gilead Sciences, dikatakan berjaya merawat pesakit pertama di AS yang dijangkiti COVID-19.

Sementara itu, JP Morgan sebuah bank pelaburan di Amerika Syarikat, turut memuji strategi dan cara Malaysia mengendalikan krisis COVID-19 ini yang disifatkan sebagai antara yang terbaik di ASEAN dan beberapa negara Eropah.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Jumaat lalu telah melaksanakan kemampuannya membuat saringan 16,000 ujian sampel berbandingan hanya 6,000 saja sehari sebelum ini.

Jadi, kita sebenarnya mempunyai “cahaya di hujung terowong” untuk mengekang wabak ini sekali gus menghapuskannya.

Kita juga memuji kepekaan dan keprihatinan seperti UMNO dan sayap-sayap partinya, pertubuhan bukan kerajaan dan individu yang turun padang menyatakan sokongan moral kepada barisan hadapan negara di samping membantu rakyat yang dalam kesusahan.

Di Kubang Pasu, Kedah kita Pergerakan Pemuda UMNO Kubang Pasu memberikan sumbangan makanan kepada petugas-petugas bilik gerakan dan COVID-19 Pusat Kesihatan Daerah di Kubang Pasu.

Kita juga turut memberikan sumbangan makanan dan minuman kepada petugas-petugas Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di Balai Polis Jitra yang bertugas siang malam memastikan PKP ini dipatuhi.

Turut tidak dilupakan ialah golongan fakir miskin di dalam kawasan Kubang Pasu yang telah kita bantu pada kadar keupayaan dan kemampuan kita di sana.

Sebagai rakyat, kita terus memberi kerjasama dengan duduk di rumah, duduk diam-diam. Insya-Allah dengan keupayaan dan kemampuan yang negara kita ada dan dengan ikhtiar, doa dan tawakal kita, wabak ini pasti akan berlalu.

Amiin, insya-Allah.

HASMUNI HASSAN
EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Penolong Bendahari Pemuda UMNO Kedah
Ketua Pemuda UMNO Kubang Pasu

#AgainstCovid19
#TradisiMembelaRakyat

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.