Usaha Sama Malaysia-Brunei Bawa Pulang Rakyat Masing-Masing Dilaksanakan

PUTRAJAYA, 29 Mac – Usaha sama antara Malaysia dan Brunei untuk membawa pulang rakyat masing-masing yang terkandas di Mesir telah dilaksanakan susulan hubungan erat dan istimewa antara kedua-dua negara.

Hari ini, seramai 84 rakyat Malaysia yang dibawa keluar menaiki pesawat sewa khas kerajaan Brunei dari Kaherah ke Bandar Seri Begawan, yang turut membawa warganegaranya yang terkandas di negara berkenaan, telah tiba di Malaysia.

Timbalan Menteri Luar Kamarudin Jaffar dalam kenyataan hari ini berkata kerajaan Malaysia pada masa yang sama turut membantu usaha kerajaan Brunei bagi membawa pulang kira-kira 134 rakyatnya yang terkandas di Malaysia.

Menurutnya, rakyat Brunei berkenaan telah dibawa pulang melalui pesawat Malaysia Airlines yang berlepas ke Lapangan Terbang Bandar Seri Begawan pada hari ini, jam 5.15 pagi.

“Pesawat yang sama kemudiannya membawa 84 rakyat Malaysia yang baru tiba dari Mesir dan 25 rakyat Malaysia yang terkandas di Brunei untuk pulang ke Malaysia dan mereka telah selamat tiba di Kuala Lumpur pada jam 12.11 tengah hari tadi,” katanya.

Bagi pihak Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia, Kamarudin menjunjung kasih Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di atas perkenan kebenaran 84 rakyat Malaysia untuk turut serta pulang menaiki pesawat yang dihantar oleh kerajaan Brunei.

Beliau berkata usaha itu juga tidak dapat direalisasikan tanpa kerjasama erat dua hala termasuk penglibatan beberapa pihak yang terlibat seperti Suruhanjaya Tinggi Brunei di Putrajaya, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bandar Seri Begawan, Kedutaan Besar Malaysia di Mesir, Education Malaysia Global Services (EMGS), Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Kamarudin berkata kerajaan akan terus berusaha untuk memastikan bahawa keselamatan, kesihatan serta kebajikan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara tidak diabaikan dan komited dalam menghulurkan bantuan sewajarnya.

“Dalam situasi yang mencabar ini, kerajaan mengalu-alukan kerjasama daripada mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan dalam usaha kerajaan membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.