PKPD Di Batu 21 Hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat Tengah Malam Ini – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 29 Mac – Kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor, mulai tengah malam ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD itu melibatkan tujuh kampung iaitu dua perkampungan Orang Asli dan lima perkampungan Melayu.

Perintah yang berkuatkuasa mulai tengah malam ini, 30 Mac hingga 13 April itu melibatkan 3,918 orang penduduk merangkumi 700 rumah, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ismail Sabri menjelaskan keputusan itu dibuat setelah mengambil kira jumlah kes positif COVID-19 yang tinggi, membabitkan pelajar Maahad Tahfiz AnNabawiyyah di Batu 23 Sungai Lui, Hulu Langat.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat 71 kes positif COVID-19 daripada 274 penghuni maahad tahfiz itu.

Tegasnya, dengan pelaksanaan perintah itu semua penduduk dan pelawat yang telah berada di kawasan tersebut tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

“Bukan penduduk dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan dan semua aktiviti perniagaan dihentikan.

“Makanan asas untuk tempoh 14 hari akan dibekalkan kepada semua penduduk oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pangkalan Perubatan akan dibuka di kawasan tersebut dan semua laluan keluar masuk ke kawasan itu ditutup,” katanya.

Bagi memastikan pematuhan perintah tersebut, Ismail Sabri, yang juga Menteri Pertahanan, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh kawasan terbabit.

Semua penduduk diminta bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa, katanya.

Penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas 03-89254809 / 03-8911420.

Untuk rekod, itu adalah arahan PKPD yang kedua selepas dua kawasan di Simpang Renggam, Johor iaitu Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid yang dikuatkuasakan, Jumaat lalu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.