Operasi Nyah Cemar Bukti Kerajaan Serius Bendung COVID-19

KUALA LUMPUR, 29 Mac – Selain pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, usaha serius dan berterusan kerajaan dalam memutuskan rantaian wabak COVID-19 wajar dipuji apabila dilihat mengambil langkah melaksanakan proses nyah cemar di seluruh negara.

Meskipun kerajaan menyatakan operasi nyah cemar itu bermula esok, pihak berkuasa tempatan (PBT) di beberapa negeri telah terlebih dahulu mengambil langkah proaktif melaksanakan proses itu dengan memfokus kepada kawasan berisiko tinggi dijangkiti wabak tersebut.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dipertangunggjawab untuk melaksanakan proses tersebut melalui PBT, SWCorp, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Proses nyah cemar secara besar-besaran oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sekitar ibu kota bermula semalam di kawasan Seri Petaling, yang merupakan zon merah wabak COVID-19 di Wilayah Persekutuan.

Selain itu, hampir kesemua 15 PBT di Perak telah melaksanakan proses tersebut di kawasan masing-masing sejak awal minggu ini dengan tumpuan antaranya pasar awam, taman atau padang rekreasi, rumah ibadat serta balai polis.

Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) JBPM hari ini turut melakukan nyah cemar di stesen kereta api Ipoh serta Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah.

Di Selangor pula, beberapa PBT telah melaksanakan proses itu, antaranya Majlis Bandaraya Shah Alam di Pasar Awam Seksyen 18 dan Pasar Kampung Baru Subang Seksyen U5.

Proses nyah cemar juga dilakukan Majlis Perbandaran Klang sejak 23 Mac melibatkan 35 lokasi seperti Perhentian Bas Pandamaran, Stadium Kota Raja, Stesen KTM Kampung Raja Uda dan Terminal Bas Klang Sentral.

Di Melaka, beberapa PBT seperti Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah melaksanakan proses nyah cemar sejak semalam dan antara lokasi tumpuan ialah Melaka Sentral, Stadium Tun Fatimah, Taman Bandaraya Bukit Serindit, Gerai MBMB Bachang, Dataran Keris Alor Gajah, Pasar Awam Gadek, Medan Selera Menggong dan Pasar Awam Alor Gajah.

Bagaimanapun, Bernama difahamkan proses nyah cemar secara menyeluruh yang melibatkan semua agensi kerajaan negeri dijangka dibincangkan dalam mesyuarat penyelarasan pencegahan COVID-19 esok dan akan dilaksanakan dengan segera apabila terdapat zon merah di negeri berkenaan.

DI JOHOR, Majlis Daerah Mersing antara pihak yang giat melakukan operasi nyah cemar di premis awam seperti pasar, jeti, tandas awam, gerai makanan dan stesen bas sebagai langkah berjaga-jaga dalam memastikan kawasan itu bebas wabak COVID-19.

Pegawai Daerah Mersing Asman Shah Abdul Rahman berkata selain itu, operasi nyah cemar turut dilakukan di dua masjid utama di Mersing iaitu Masjid Jamek Bandar Mersing dan Masjid Bandar Endau pada 24 Mac.

Dalam pada itu, beberapa negeri pula akan melaksanakan proses itu esok, antaranya Pulau Pinang, Terengganu dan Kedah.

Pengarah JBPM Pulau Pinang Saadon Moktar berkata operasi nyah cemar secara besar-besaran esok dengan kerjasama Majlis Bandaraya Seberang Perai akan dimulakan di Pasar Awam Chai Leng dan Pasar Padang Applo, Butterworth.

Di Terengganu, Pengarah JBPM negeri Penolong Pesuruhjaya Bomba Md Hilman Abd Rashid berkata pihaknya akan menjalankan proses itu secara bersepadu bermula di sebuah madrasah di Kampung Kubang Bujuk pagi esok dan di Penjara Marang pada lusa.

Di Kedah, jurucakap JBPM negeri memberitahu jabatan itu akan melakukan kerja-kerja nyah cemar sekitar daerah Kuala Muda esok namun maklumat terperinci, termasuk lokasi yang terlibat, belum diperoleh. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.