Ingkar PKP: Bilangan Individu Ditahan Meningkat Pada Hari Ke-11 – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 29 Mac – Bilangan individu yang ingkar dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih tinggi dan sehingga semalam, sejumlah 649 individu telah ditahan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata jumlah itu meningkat sekali ganda berbanding Jumaat lepas yang menyaksikan 320 orang ditahan.

“Daripada 649 individu itu, seramai 73 orang telahpun dituduh di mahkamah dan mengaku bersalah namun didapati masih ramai yang ingkar.

“Polis telah diberi kebenaran untuk mengambil tindakan tegas, antara yang akan dilakukan segera ialah kompaun selain tindakan membawa mereka ke mahkamah,” katanya dalam sidang media harian di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata sebanyak 997 sekatan jalan raya diadakan semalam yang menyaksikan 310,938 kenderaan telah diperiksa berbanding lebih 200,000 pada hari sebelumnya.

“Angka itu menunjukkan masih banyak kenderaan berada di jalan raya, sebab itulah pemeriksaannya sekali ganda lebih banyak daripada hari sebelumnya,” kata beliau.

Ulasnya lagi, keluar membeli makanan tetapi sehingga empat kali sehari adalah antara alasan tidak jujur yang diberikan oleh segelintir rakyat untuk keluar dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ada bagi alasan beli makanan, tapi sampai empat kali sehari, sampai polis pun kenal muka mereka ini, nyata ia bukan alasan yang jujur,” katanya.

Beliau berkata, ada antara mereka yang diperiksa masih melepak di warung kopi dan lebih teruk melanggar sekatan PKP yang dijalankan.

Dalam pada itu, katanya, masih terdapat premis perniagaan yang tidak termasuk dalam kategori perkhidmatan penting dibuka ketika pelaksanaan PKP.

Beliau berkata, ketika PKP dilaksanakan ini, hanya premis berkaitan bekalan makanan dan kesihatan dibenarkan beroperasi.

“Sebanyak 3,223 premis telah diperiksa dan sebahagiannya (bukan perkhidmatan penting) telah diarah tutup”, katanya.

Sementara itu, prosedur operasi standard (SOP) baharu yang lebih ketat dijangka diumum esok- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.