Catuan Air Di Melaka Tamat Rabu Ini- Sulaiman

MELAKA, 29 Mac-Catuan bekalan air di Melaka akan ditamatkan berkuatkuasa Rabu ini, berikutan paras air di tiga empangan di negeri ini semakin stabil.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali berkata keputusan menamatkan catuan itu dibuat dengan turut mengambil kira situasi yang sedang dihadapi pengguna sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

“Ini keutamaan Kerajaan Negeri bagi memastikan keperluan asas rakyat diutamakan lebih-lebih lagi dalam keadaan perlunya mematuhi arahan PKP sehingga 14 April nanti.

“Justeru itu, program Bekalan Air Berjadual (BAB) Zon 1 yang dimulakan sejak 29 Jan lepas dan Zon 2 pada 10 Mac lepas membabitkan lebih 80 peratus atau 735,221 isi rumah termasuk kawasan perindustrian dan perhotelan akan ditamatkan pada 1 April ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini Empangan Durian Tunggal mencatatkan 40.9 peratus kadar air iaitu 12,620 juta liter, diikuti Empangan Jus 23 peratus iaitu 9,975 juta liter manakala Empangan Asahan 72.8 peratus iaitu 507 juta liter.

Menurut Sulaiman peratus peningkatan Empangan Durian Tunggal diunjurkan akan mencapai tahap 43 peratus pada 1 April ini dan dijangka mencapai paras 60 peratus pada minggu ketiga April.

Sebelum ini, catuan bekalan air di Melaka dilaksana bagi tempoh dua minggu pertama bermula 29 Jan lepas membabitkan 550,673 orang iaitu 62.8 peratus penduduk dan diteruskan bagi fasa kedua pada 10 Feb melibatkan hospital, kawasan industri dan pusat pelancongan.

Catuan air terus dilanjutkan pada fasa ketiga mulai 10 Mac sehingga kini ekoran paras air di tiga empangan utama masih belum mencatatkan peningkatan seterusnya untuk memastikan bekalan air mencukupi bagi menghadapi cuaca panas kering.

Melaka pada masa ini mempunyai tiga empangan iaitu Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah, dan Empangan Jus serta Empangan Asahan di Jasin.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.