11,938 Penyewa PPR, RSK Di Johor Dikecualikan Sewa Sehingga Bulan September- Ir Hasni

JOHOR BAHRU, 29 Mac – Sejumlah 11,938 penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) di Johor dikecualikan bayaran sewa selama enam bulan mulai April sehingga September depan.

Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata kerajaan negeri bersetuju mengecualikan bayaran itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) pada Jumaat lepas.

“Seperti mana yang disarankan Perdana Menteri, Kerajaan Negeri Johor bersetuju untuk memanjangkan pengecualian pembayaran sewa bagi PPR dan RSK daripada April hingga Jun 2020 yang diumum sebelum ini kepada tempoh enam bulan bermula April hingga September 2020,” menurutnya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri Johor menyambut baik langkah proaktif yang diambil oleh Kerajaan Persekutuan menerusi pengumuman pakej PRIHATIN dua hari lepas.

Katanya dengan peruntukan yang amat besar berjumlah RM250 bilion, pakej rangsangan itu telah membuktikan bahawa kerajaan komited dalam memastikan rakyat pelbagai lapisan di negara ini mendapat manfaat ketika mengharungi tempoh sukar ini.

Hasni berkata Johor sudah memberikan pengecualian sewa untuk semua premis perniagaan milik kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan bermula April hingga Disember.

Sehubungan itu, beliau berkata Kerajaan Negeri Johor berharap rakyat di negeri tersebut akan menggunakan peruntukan yang disalurkan kepada mereka dengan sebaik-baiknya.

“Pada masa sama, saya ingin menyeru semua rakyat Johor supaya mematuhi segala arahan yang diberi dan sentiasa menjaga kesihatan, kebersihan dan keselamatan diri.

“Bagaimanapun, apa yang penting ialah duduk di rumah supaya kita dapat memutuskan rantaian wabak yang membawa maut ini,” katanya. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.