Tarikh Peperiksaan Kendalian Kementerian Pendidikan Dijadual Semula

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Tarikh peperiksaan pusat dan lain-lain peperiksaan di bawah kendalian Kementerian Pendidikan (KPM) untuk tahun ini dijadual semula berikutan tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini bagi mengekang penularan COVID-19.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa penjadualan semula dibuat setelah meneliti keadaan semasa dan memastikan semua kurikulum mata pelajaran itu dapat diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan.

Penjadualan semula itu melibatkan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sepatutnya bermula 5 Okt hingga 19 Nov, tetapi kini dipinda ke tarikh baharu iaitu 16 Nov hingga 7 Dis, 2020.

Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pula mengikut tarikh asal yang dijadualkan iaitu bermula pada 28 Sept hingga 6 Okt, namun terdapat perubahan subjek peperiksaan Bahasa Melayu ditetapkan pada 28 Sept dan Bahasa Inggeris pada 29 Sept.

Bagaimanapun, Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tiada pindaan iaitu kekal pada tarikh asal 1, 2, 3, 7 dan 8 Sept, menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memberitahu bahawa peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Semester 2 yang dijadual pada awal Mei, dianjak kepada 18, 19, 23 dan 24 Nov, manakala peperiksaan Semester 3 STPM kekal pada tarikh 3, 4, 5, 9 dan 10 Nov.

Bagi STPM Ulangan 1, tarikh peperiksaan itu dianjak kepada 25,26, 30 Nov dan 1 Dis, manakala Ulangan 2 dianjak ke 15-18 Mac, 2021.

Peperiksaan STPM Semester 2 dianjak dari bulan Mei ke bulan November untuk memberi peluang sekolah menguruskan sukatan Semester 2 yang tertinggal, menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga memaklumkan bahawa Ujian Bertulis MUET (Malaysian University English Test) Sesi 1/2020 yang dijadual pada 28 Mac, dipinda ke 5 Sept.

Berikut adalah tarikh-tarikh peperiksaan penting lain yang dijadual semula:

• Peperiksaan Semester Program Matrikulasi (PSPM) Kolej Matrikulasi Sesi 2019/2020:
Tarikh Asal: 30 Mac hingga 6 April, 2020
Tarikh Pindaan: 27 April hingga 4 Mei, 2020

• Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP)
Tarikh Asal: 4 Mei hingga 11 Mei, 2020
Tarikh Pindaan: 3 Jun hingga 12 Jun, 2020

• Program Diploma Perguruan Malaysia (PDPM)
Tarikh Asal: 4 April hingga 6 April, 2020
Tarikh Pindaan: 27 April hingga 30 April, 2020

• Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP)
Tarikh Asal: 4 Mei hingga 21 Mei, 2020
Tarikh Pindaan: 3 Jun hingga 18 Jun, 2020

• Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP)
Tarikh Asal: 4 Mei hingga 21 Mei, 2020
Tarikh Pindaan: 3 Jun hingga 18 Jun, 2020

• Ujian Pencapaian Bahasa Antarabangsa (UPBA)
Tarikh Asal : 22 Jun, 2020 (KEKAL)

• Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) – Lisan
Tarikh Asal: 2 Jun hingga 30 Jun, 2020 (KEKAL)

• Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) – Bertulis
Tarikh Asal: 23 Jun hingga 25 Jun, 2020 (KEKAL)

• Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) – Bertulis
Tarikh Asal: 21, 22, 26 hingga 28 Okt, 2020 (KEKAL) – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.