Pakej Rangsangan Langkah Tepat Redakan Tekanan Kewangan Rakyat

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan kerajaan semalam adalah bertepatan dengan situasi membantu rakyat menghadapi cabaran ekonomi akibat penularan COVID-19 yang menjejaskan rutin perniagaan dan pekerjaan mereka.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Joha berkata pengumuman itu juga meredakan keresahan ramai pihak yang terjejas mata pencarian semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak berkenaan.

“Pakej itu melegakan kebimbangan sejumlah besar kelompok belia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pekerjaan antaranya mereka yang bergaji harian, penjaja kecil, penggiat seni dan mahasiswa.

“Tindakan segera kerajaan (melalui pakej PRIHATIN) dengan bantuan kewangan yang pelbagai juga membantu meringankan beban golongan keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan keluarga berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40),” katanya mengulas pakej PRIHATIN itu.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej berjumlah RM250 bilion yang akan memberi manfaat kepada semua rakyat dengan menyediakan bantuan segera untuk meringankan beban semua serta tiada golongan yang akan tercicir. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.