Pahang Lanjut Tempoh Penangguhan Aktiviti Masjid, Surau Sehingga 14 April

KUANTAN, 28 Mac – Tempoh penangguhan semua aktiviti masjid dan surau di seluruh Pahang dilanjutkan sehingga 14 April ini, selari dengan keputusan kerajaan Persekutuan melanjutkan jangka masa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah tiada pengecualian diberikan berhubung arahan penangguhan itu.

Titah baginda, keputusan itu juga telah diperkenan oleh Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah selaku Ketua Agama Islam Negeri.

“Masjid hanya dibenarkan melaungkan azan oleh muazzin yang bertugas. Solat berjemaah bagi setiap ahli kariah masjid hendaklah dilakukan di rumah bersama ahli keluarga masing-masing.

“Hendaklah diingatkan bahawa solat Jumaat tidak boleh dilaksanakan di rumah dan hanya boleh digantikan dengan solat Zuhur,” titah baginda menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Tengku Amir Nasser bertitah pengurusan masjid dan surau di Pahang perlu mematuhi ketetapan itu dan turut meminta semua umat Islam negeri ini berdoa bagi memohon agar wabak COVID-19 berakhir segera.

Pada 17 Mac lepas, Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman mengumumkan penangguhan semua aktiviti masjid dan surau ekoran tindakan kerajaan melaksanakan PKP bagi membendung penularan wabak COVID-19.

PKP mula berkuatkuasa pada 18 Mac lepas dan sepatutnya berakhir pada 31 Mac ini namun Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengumumkan tempoh perintah itu dilanjutkan sehingga 14 April. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.