COVID-19: Kuala Lumpur Laksana Operasi Disinfeksi Secara Besar-Besaran

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Operasi Disinfeksi COVID-19 secara besar-besaran oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sekitar ibu kota bermula hari ini bagi memastikan ibu negara bebas daripada wabak COVID-19.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata langkah itu merupakan sebahagian usaha pihaknya memastikan keselamatan dan kesihatan warga kota sentiasa diutamakan.

Beliau berkata semua aset dan anggota DBKL telah digerakkan bagi melaksanakan kerja-kerja disinfeksi dan pembasmi kuman dengan fokus utama ketika ini adalah di kawasan yang berisiko tinggi.

“Hari ini DBKL bersama Alam Flora dengan kekuatan seramai 100 anggota telah menjalankan proses pembersihan dan disinfeksi di sekitar kawasan Sri Petaling, yang merupakan kawasan Zon Merah wabak COVID-19 di Wilayah Persekutuan.

“Usaha ini bagi memastikan tempat awam seperti dewan, masjid, surau, jalan raya, pondok menunggu bas dan lorong bebas daripada virus ini. Kami mahu masyarakat berasa selamat sekali gus mengurangkan kebimbangan mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Selain itu Nor Hisham berkata kawasan pasar harian serta pasar borong akan disinfeksi setiap hari bagi memastikan kawasan tumpuan masyarakat untuk membeli keperluan asas itu bebas daripada virus COVID-19.

“Antara kawasan itu ialah Pasar Pudu; Pasar Taman Cheras; Pasar Besar Taman Tun Dr Ismail (TTDI); Pasar Pekan Salak Selatan; Pasar Genting Klang; serta pasar dan Pusat Penjaja Seksyen 2 Wangsa Maju.

“Selain itu, Pasar Besar Cheras; Pasar Alam Damai; Pasar Pekan Sungai Besi; Pasar Klang Lama; Pasar Harian Selayang; Pasar Sentul; Pasar Batu 5; Pasar Raja Bot dan beberapa pasar harian lain yang menjadi tumpuan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata semua anggota yang terlibat dalam operasi ini mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kami memastikan setiap larutan bahan kimia, dan pemakaian anggota untuk operasi disinfeksi ini mengikuti SOP yang telah ditetapkan, kami mahu Kuala Lumpur bebas daripada virus ini,” katanya.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa hari ini meninjau kerja-kerja disinfeksi dan membasmi kuman secara besar-besaran yang dilaksanakan pasukan dari Unit Kesihatan di sekitar Sri Petaling dekat sini.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dalam twitternya menciap: “Terima kasih & tahniah Tan Sri @AnnuarMusa, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan lain-lain atas usaha yang amat bermakna ini”. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.