Peruntukan RM10 Bilion Bantu Kumpulan M40 Dan Ke Bawah – PM Muhyiddin

PUTRAJAYA, 27 Mac – Kerajaan hari ini bersetuju menyediakan peruntukan sebanyak RM10 bilion bagi membantu kumpulan M40 dan ke bawah yang terjejas akibat keadaan wabak COVID-19 ketika ini, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata bantuan itu akan disalurkan melalui Bantuan Prihatin Nasional iaitu pemberian tunai secara one-off yang buat pertama kalinya disalurkan juga kepada kumpulan M40 bagi meringankan beban golongan itu.

“Mereka ini termasuk pekerja swasta, peneroka Felda, petani, nelayan, peniaga kecil dan semua yang tergolong dalam kumpulan M40 dan ke bawah,” katanya ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) di sini hari ini.

Muhyiddin berkata bayaran tersebut akan merangkumi:

1. RM1,600 kepada hampir empat juta isi rumah berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah. Bayaran RM1,000 akan dibayar pada April 2020 dan RM600 pada Mei 2020.

2. RM1,000 kepada hampir 1.1 juta isi rumah berpendapatan lebih RM4,000 hingga RM8,000 yang akan dibayar pada April 2020 sebanyak RM500 manakala baki RM500 pada Mei 2020.

3. RM800 kepada tiga juta individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah, yang mana bayaran RM500 akan dibayar pada April 2020 dan baki RM300 pada Mei 2020.

4. RM500 kepada 400,000 individu bujang berusia 21 tahun ke atas berpendapatan bulanan lebih RM2,000 hingga RM4,000. Bayaran RM250 akan dibuat pada April 2020 dan baki RM250 pada Mei 2020. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit