Kerajaan Peruntuk Dana Tambahan RM4.5 Bilion Bantu PKS, Usahawan Mikro

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menyediakan dana tambahan berjumlah RM4.5 bilion bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk usahawan mikro, yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata dana tambahan tersebut akan merangkumi lima inisiatif utama.

Inisiatif pertama, katanya, dana tambahan sebanyak RM3 billion akan di masukkan ke dalam tabung Bantuan Kemudahan Khas bagik PKS yang akan menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak RM5 bilion.

“Kadar faedah bagi keseluruhan dana ini akan dikurangkan daripada 3.75 peratus kepada 3.5 peratus,” kata Muhyiddin semasa mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) di sini, hari ini,.

Kedua, saiz dana di bawah Kemudahan Semua Sektor Ekonomi ditingkatkan sebanyak RM1 bilion kepada RM6.8 bilion bagi meningkatkan lagi akses pembiayaan kepada PKS.

Manakala, ketiga, dana tambahan sebanyak RM500 juta disediakan di bawah Skim Kredit Mikro yang menjadikan jumlah keseluruhan RM700 juta bagi pembiayaan mudah.

“Skim ini akan dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional dengan menawarkan kadar faedah 2.0 peratus sahaja tanpa cagaran.

“Syarat kelayakan pinjaman juga dilonggarkan dengan minimum enam bulan operasi berbanding setahun operasi,” katanya sambil menambah amaun pembiayaan ditingkatkan daripada maksimum RM50,000 kepada RM75,000 bagi setiap usahawan.

Perdana Menteri berkata inisiatif itu terbuka kepada semua usahawan mikro dalam semua sektor perniagaan termasuk pengusaha taska, pengendali bas dan teksi, industri kreatif dan peniaga dalam talian.

Inisiatif keempat, katanya, PKS yang mempunyai rekod perniagaan kurang daripada empat tahun boleh juga memanfaatkan skim BizMula-i dan BizWanita-i oleh Syarikat Jaminan Kredit Malaysia Bhd untuk pembiayaan sehingga RM300,000.

Manakala inisiatif Kelima, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan akan menyediakan kemudahan jaminan bernilai RM5 bilion selain meningkatkan kadar jaminan daripada 70 peratus kepada 80 peratus bagi syarikat PKS yang menghadapi masalah mendapatkan pinjaman.

“Menerusi inisiatif-inisiatif di atas, saya percaya institusi kewangan akan terus memberikan sokongan padu kepada PKS yang berdaya maju, lebih-lebih lagi dalam menghadapi cabaran ekonomi yang agak muram pada masa ini,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.