Johor Yakin PKPD Di Simpang Renggam Bolehkan COVID-19 Dikesan – MB

JOHOR BAHRU, 27 Mac – Kerajaan Negeri Johor yakin keputusan meletakkan dua kawasan di Simpang Renggam, Kluang, dekat sini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai hari ini dapat membolehkan pihak berwajib melaksanakan aktiviti pengesanan kes COVID-19 dari rumah ke rumah dalam usaha membendung penularan wabak terbabit.

Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata berdasarkan jumlah kes yang tinggi di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid dengan rekod sebanyak 61 kes, kerajaan negeri bersetuju dengan keputusan kerajaan Persekutuan supaya dua kawasan itu dikenakan PKPD.

“Kerajaan negeri yakin keputusan tersebut dibuat bagi membendung penularan wabak COVID-19. Langkah berkenaan juga diambil bagi membolehkan aktiviti pengesanan kes dari rumah ke rumah dilaksanakan pihak terlibat sepanjang 14 hari itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPD di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid bermula hari ini hingga 9 April berikutan jumlah kes yang tinggi di dua kawasan itu.

Hasni juga menyeru 3,570 penduduk dari 650 keluarga di dua kampung tersebut supaya bertenang dan mematuhi semua arahan selain memberi kerjasama yang baik kepada petugas Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa.

Pada masa sama, beliau memberi jaminan makanan asas yang mencukupi akan dibekalkan kepada semua penduduk oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sepanjang tempoh PKPD itu dilaksanakan.

“Kerajaan negeri juga akan sentiasa memantau perkembangan penduduk di kawasan terlibat dan memberi segala sokongan serta kerjasama yang diperlukan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R.Vidyananthan berkata berikutan pelaksanaan PKPD di kedua-dua kawasan itu, beberapa langkah diambil kerajaan termasuk pihak polis dan tentera mengadakan sekatan jalan raya di semua akses masuk dan keluar terutamanya di jalan utama Simpang Renggam-Benut dan Simpang Renggam-Kluang di kedua-dua hala.

Semua penduduk di dua kawasan itu diminta bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas kesihatan dan pihak berkuasa, katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menasihati penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan menghubungi talian khas 07-7735224/07-7722434. –BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.