393 Kes Penipuan Penjualan Penutup Mulut Dan Hidung, Kerugian RM1.1 Juta

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Sebanyak 393 kes penipuan membabitkan penjualan penutup mulut dan hidung dilaporkan kepada polis di seluruh negara dalam tempoh Perintah Pergerakan Kawalan (PKP) setakat ini dengan jumlah kerugian kira-kira RM1.1 juta.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor berkata pihaknya memandang serius aktiviti penipuan itu dan setakat ini, 26 individu ditahan dengan beberapa orang telah dituduh di mahkamah.

“Ini satu penyakit, masih ada yang mengambil kesempatan untuk menipu masyarakat dalam situasi (wabak COVID-19) ini …pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini,” katanya ketika menjadi tetamu rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) terbitan TV3 hari ini.

Sementara itu, Mazlan berkata 94 kertas siasatan dibuka berhubung penyebaran berita palsu berkaitan wabak COVID-19 di seluruh negara.

“Ada enam kes telah dituduh di mahkamah manakala bakinya masih dalam siasatan. Polis menasihatkan orang ramai agar menggunakan media sosial dengan berhemah.

“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang menyebarkan berita palsu berhubung apa jua yang berlaku di negara ini,” katanya.

Mengulas lanjutan tempoh PKP sehingga 14 April ini, Mazlan berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah bersiap sedia untuk melaksanakan perintah itu demi memastikan rantaian wabak COVID-19 dapat diputuskan.

“Polis ada strategi tertentu dan saya harap masyarkat mematuhi peraturan yang digariskan dalam tempoh pelaksanaan PKP. Tindakan undang-undang (akan diambil) sekiranya gagal atau ingkar arahan,” katanya. – BERNAMA