MOSTI-KPT Kerjasama Jalankan Ujian Saringan COVID-19

PUTRAJAYA, 25 Mac – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini mengumumkan penubuhan Pasukan Khas Saringan COVID-19 bagi membuat ujian saringan COVID-19 di 10 makmal diagnostik.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata ujian itu melibatkan makmal diagnostik di institut penyelidikan di bawah MOSTI (sebuah makmal bergerak), institut pengajian tinggi (IPT) serta di hospital universiti.

Jelasnya, penubuhan Pasukan Khas Saringan COVID-19 itu telah dipersetujui pada mesyuarat MOSTI-KPT pada 20 Mac lepas.

Pada masa yang sama, satu protokol standard sedang dibangunkan bersama pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk digunakan oleh kesemua pusat pemeriksaan ini, katanya dalam kenyataan hari ini.

“Kesemua makmal ini mampu melaksanakan sebanyak 1,414 ujian sehari. Pihak KKM menerusi Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) juga akan melatih staf dan kakitangan makmal saringan COVID-19 dengan protokol standard yang bakal diwujudkan,” katanya.

Beliau berkata ini bermakna sebanyak 42,420 ujian saringan akan dilaksanakan oleh institut penyelidikan dan IPT dalam tempoh 30 hari bagi membantu meringankan beban KKM.

Jelas Khairy, inisiatif itu juga merupakan hasil perbincangan beliau dengan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba serta Menteri Komunikasi dan Mutimedia Datuk Saifuddin Abdullah melalui Mesyuarat Kerjasama Strategik KKM-MOSTI-KKMM yang dipengerusikan bersama bagi mengawal penularan wabak COVID-19 pada 23 Mac di Ibu Pejabat KKM.

Dalam pada itu, katanya selaras dengan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April seperti diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, MOSTI sedang melaksanakan beberapa inisiatif bagi mengekang penularan wabak itu.

Antaranya adalah mempercepatkan proses penilaian kit ujian diagnostik COVID-19 yang dibangunkan oleh Syarikat Medical Innovation Ventures Sdn. Bhd. (Mediven) yang dibiayai menerusi Malaysia Technology Development Corporation (MTDC),” katanya.

Khairy berkata MOSTI juga sedang membangunkan aplikasi pemetaan kawasan penularan Covid-19 yang akan membantu pihak berkuasa melakukan pemantauan yang lebih rapi serta sebagai amaran dan peringatan kepada orang ramai untuk menjauhi kawasan terlibat.

“Saya berharap orang ramai akan kekal tenang dan mematuhi PKP sehingga 14 April ini dengan duduk di rumah supaya kita sama-sama dapat mengekang penularan COVID-19.

“Kesemua kementerian dan agensi kerajaan sedang melakukan segala yang terdaya untuk memerangi wabak ini,” katanya. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.