COVID-19: MB, Exco Pahang Potong Gaji 10% Untuk Tiga Bulan Isi Tabung

KUANTAN, 25 Mac – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) bersetuju memotong 10 peratus gaji mereka selama tiga bulan bagi membantu rakyat negeri ini yang terkesan dengan penularan virus COVID-19.

Wan Rosdy berkata berdasarkan keputusan mesyuarat EXCO hari ini, potongan itu berkuat kuasa mulai April ini dan disumbangkan ke tabung COVID-19 Pahang yang diwujudkan kerajaan negeri.

“Keputusan ini diambil atas rasa tanggungjawab dan simpati ahli EXCO terhadap rakyat daripada pelbagai latar belakang kaum, usia dan kerjaya yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

“Semoga sumbangan ini dapat mendorong lebih ramai pihak tampil dan turut menderma bagi membantu mereka yang memerlukan,” katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.

Pada perkembangan lain, Wan Rosdy menyifatkan langkah Bank Negara Malaysia mengumumkan penangguhan pembayaran pinjaman selama enam bulan sebagai melegakan orang ramai daripada terus terbeban dengan keadaan ekonomi yang dialami.

Katanya, mereka yang paling terkesan dengan penularan COVID-19 ialah golongan bekerja sendiri, peniaga kecil dan mereka yang bergaji harian yang kini tidak dapat meneruskan kegiatan ekonomi ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

“Apa yang berlaku sekarang menyebabkan mereka tidak berupaya untuk menjana pendapatan sekali gus menyukarkan pembayaran balik pinjaman. Justeru, langkah ini dapat meringankan beban kewangan dan membantu mereka dalam keadaan ekonomi tidak menentu,” katanya.

PKP dilaksanakan untuk membendung penularan virus COVID-19 dan hari ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelanjutan tempoh pelaksanaannya sehingga 14 April ini. – BERNAMA