Nasib Sukma Johor Dibincang Pada Rabu Menerusi Persidangan Video – Reezal

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Nasib penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor dijangka diketahui pada Rabu ini apabila Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma diadakan melalui persidangan video berikutan pandemik COVID-19.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pada mesyuarat yang bakal dipengerusikan oleh beliau itu, penangguhan Sukma 2020 adalah antara opsyen yang akan dipertimbangkan.

“Antara implikasi dan aspek-apek yang akan diambil kira adalah persiapan atlet, cabaran dan kekangan teknikal penganjuran, pandangan dan kekhuatiran pihak penaja untuk aktiviti promosi, pemasaran, liputan media dan program-program pra-Sukma yang berkaitan.

“Di samping itu, isu paling utama sekali adalah aspek keselamatan dan kesihatan risiko COVID-19 itu sendiri ke atas hampir 30,000 orang (atlet, pegawai, petugas, petugas media dan sukarelawan), ini tidak termasuk jumlah penyokong dan penonton yang akan hadir di pelbagai lokasi kejohanan,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Jawatankuasa itu dianggotai oleh semua 14 exco Belia dan Sukan Negeri, termasuk exco negeri Johor selaku penganjur, wakil Majlis Olimpik Malaysia, Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Majlis Sukan Angkatan Tentera Malaysia (MS ATM) dan Majlis Sukan Polis DiRaja Malaysia (MS PDRM).

Sukma Johor dijadualkan berlangsung bermula 11-19 Julai ini, namun penularan wabak COVID-19 mungkin akan menyebabkan temasya itu ditunda ke tarikh lain. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.