Peruntukan Khas RM3.58 Juta Bantu Rakyat Pahang Terjejas Pendapatan – MB

KUANTAN, 23 Mac – Kerajaan negeri Pahang hari ini mengumumkan peruntukan khas berjumlah RM3.58 juta kepada 17,935 rakyat negeri ini yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata peruntukan itu melibatkan bantuan khas tunai sebanyak RM150 secara ‘one-off’ dan pemberian makanan asas bernilai RM50 yang akan mula diagihkan esok.

“Proses agihan diuruskan pegawai daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT). Penerima yang layak ialah mereka yang terkesan secara langsung dan terputus sumber pendapatan disebabkan perintah tersebut.

“Perlu diingatkan supaya penerima terus mematuhi arahan berada di rumah kerana agihan dibuat secara terus ke rumah mereka yang terlibat,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, Wan Rosdy berkata potongan sewa sebanyak 50 peratus diberikan kepada sejumlah 2,453 penyewa Projek Perumahan Awam Kos Rendah dan Rancangan Rumah Murah bagi bulan April yang melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM150,000 kepada kerajaan negeri.

Potongan 50 peratus juga diberikan kepada 6,238 peniaga kecil dan penjaja melibatkan jumlah sebanyak RM1.29 juta bagi bayaran sewa gerai dan kemudahan PBT serta permit pasar tani, pasar pagi, pasar malam dan ‘car boot sale’ untuk bulan April, katanya.

Wan Rosdy turut mengumumkan bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat Pahang akan mempercepatkan bantuan kewangan bulan April kepada 27 Mac ini, antaranya merangkumi Bantuan Kanak-Kanak, Elaun Pekerja Cacat, Bantuan Penjagaan Orang Kelainan Upaya Terlantar dan Bantuan Orang Tua kepada 26,806 penerima yang melibatkan peruntukan sebanyak RM8.95 juta.

“Kerajaan negeri juga bersetuju meluluskan peruntukan RM765,800 bagi menampung kos penyediaan makanan petugas bilik gerakan operasi dan anggota pasukan keselamatan yang terlibat dalam operasi penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Selain itu, peruntukan khas berjumlah RM252,000 diberikan kepada semua 42 Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang untuk mereka membantu secara terus rakyat yang terjejas akibat penularan COVID-19,” katanya.

Wan Rosdy juga mengumumkan pelancaran Tabung COVID-19 Pahang dan mereka yang ingin menderma boleh berbuat demikian menggunakan akaun Perbendaharaan Negeri Pahang di Bank Muamalat bernombor 06010002165711 atau menggunakan aplikasi digital PahangGo.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kakitangan barisan hadapan COVID-19 yang bertugas siang dan malam tanpa mengenal penat lelah selain meminta rakyat Pahang mendoakan agar mereka diberikan kesihatan serta kekuatan untuk berdepan tugas mencabar itu.

“Saya juga berharap semua rakyat Pahang terus patuh berada di rumah kerana kita ingin memutuskan rantaian virus ini yang mana jika berjaya, tiada kes baharu dikesan membolehkan tumpuan diberikan untuk memulihkan pesakit sedia ada,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.