COVID-19: Empat Kematian Terbaru Jadikan Keseluruhan 14, 212 Kes Terbaru

PUTRAJAYA, 23 Mac – Terdapat empat kes kematian baru berkaitan COVID-19 yang dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia adalah 14 kes, pada ketika terdapat 212 kes baharu dengan jumlah kes positif 1,518.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Nor Hisham Abdullah berkata, kes kematian ke-11merupakan kes ke-1070 melibatkan lelaki warganegara Malaysia berumur 70 tahun, yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan dirawat di ICU (Unit Rawatan Rapi) Hospital Canselor Tuanku Muhriz, sebelum disahkan meninggal dunia semalam.

“Kes kematian ke-12 merupakan kes ke-1114 berumur 70 tahun lelaki warganegara Malaysia. Beliau merupakan jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Jamek Seri Petaling dan dirawat di Hospital Kluang. Beliau disahkan meninggal dunia hari ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kes kematian ke-13 merupakan kes ke-1006 melibatkan lelaki warganegara Malaysia berumur 49 tahun.

Katanya mangsa yang dirawat di Hospital Umum Sarawak itu, merupakan anak kepada kes ke-1031 dan beliau disahkan meninggal dunia hari ini.

“Kes kematian ke-14 merupakan kes ke-595 berumur 51 tahun, perempuan warganegara Malaysia. Beliau merupakan kontak rapat dengan kes positif COVID-19 dari kluster tabligh dan dirawat di Hospital Miri. Beliau disahkan meninggal dunia hari ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata daripada 212 kes baharu yang dilaporkan sehingga 12 tengah hari, sebanyak 123 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling.

“Sehingga kini, seramai 57 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, 27 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat 20 kes yang telah pulih dan dibenarkan pulang hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan telah dibenarkan pulang daripada wad, sebanyak 159 kes.

Dalam pada itu beliau berkata, sehingga kini pihak Kementerian Kesihatan telah berjaya memperolehi stok bekalan peralatan perlindungan diri (PPE), sebanyak 33 juta unit.

Katanya stok itu mampu menampung penggunaan di semua fasiliti kesihatan dan akan diedarkan dalam minggu ini.

“Selain daripada itu, pihak kerajaan juga telah menerima sumbangan bekalan PPE daripada pelbagai pihak dan sejumlah tiga juta unit PPE sedang diagihkan ke fasiliti-fasiliti kesihatan, mengikut keperluan.

“Pihak KKM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak atas sumbangan mereka,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.