COVID-19: Malaysia Catat Satu Lagi Kes Kematian

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Satu lagi kes kematian dicatatkan hari ini akibat COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian dalam negara sebanyak sembilan setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata individu itu merupakan seorang doktor perubatan Kementerian Kesihatan yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara Turki.

Kes jangkitan ini disyaki bukan daripada kalangan petugas barisan hadapan mahupun daripada kalangan rakan kerja yang berhadapan dengan pesakit COVID-19, ia adalah berkait dengan sejarah perjalanan ke luar negara, tegasnya.

Menurutnya warganegara berusia 48 tahun itu merupakan kes ke-890.

“Beliau dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar pada 17 Mac 2020 setelah mengalami simptom Severe Acute Respiratory Infection,” katanya menerusi cacatan laman Facebook beliau.

Dr Noor Hisham berkata lelaki itu kemudiannya disahkan positif COVID-19 pada 18 Mac lepas dan diberikan bantuan alatan pernafasan sejak 19 Mac setelah keadaan kesihatan beliau merudum.

“Beliau disahkan meninggal dunia pada pukul 10.33 pagi, 22 Mac (hari ini),” katanya.

Seluruh warga Kementerian Kesihatan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga arwah, kata Dr Noor Hisham.

Sehingga Sabtu 1,183 kes jangkitan dilaporkan dengan 114 orang sembuh daripada jangkitan itu, dan pada masa yang sama lapan kematian dicatatkan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.