COVID-19: Satu Lagi Kes Kematian Baharu Dicatatkan – KP Kesihatan

PUTRAJAYA, 21 Mac – Kementerian Kesihatan mengesahkan satu lagi kematian akibat COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan yang meninggal dunia sehingga kini akibat wabak itu di Malaysia, ialah empat orang.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, individu yang meninggal dunia itu melibatkan kes ke-238, yang merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 50 tahun, daripada kluster jemaah tabligh.

“Beliau telah dimasukkan ke Hospital Melaka pada 12 Mac dengan gejala Severe Acute Respiratory Infection. Beliau telah diberikan bantuan mesin pernafasan pada hari kelima kemasukan di wad isolasi, dan ketika dalam penjagaan di ICU.

“Kesihatan beliau merosot hari demi hari sejak kemasukan dan telah disahkan meninggal dunia pada 21 Mac jam 1:30 pagi,” katanya pada sidang media harian berkaitan wabak itu di Kementerian Kesihatan di Putrajaya.

Semalam, Dr Noor Hisham dalam catatan Facebook rasmi beliau, mengesahkan kematian ketiga akibat wabak COVID-19, apabila seorang lelaki tempatan iaitu kes ke-152 daripada kluster jemaah tabligh meninggal dunia di Hospital Tawau, Sabah.

Selasa lalu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan dua kematian pertama akibat wabak COVID-19 di negara ini, melibatkan kes ke-178 dan ke-358, masing-masing di Johor dan Sarawak.

Kedua-dua kematian yang melibatkan rakyat tempatan, masing-masing seorang jemaah tabligh berumur 34 tahun yang menghadiri perhimpunan tabligh berkenaan, manakala seorang paderi berusia 60 tahun yang mempunyai sejarah penyakit kronik.

Sementara itu, setakat 12 tengah hari, beliau berkata terdapat 153 kes baharu positif COVID-19 yang telah dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 1,183 kes.

“Berdasarkan siasatan awal, daripada 153 kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 90 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, seramai 37 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, 23 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, 19 kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan lima petugas daripada fasiliti kesihatan swasta, telah disahkan dijangkiti COVID-19.

Katanya dua daripada 19 kakitangan KKM tersebut, sedang dirawat di ICU.

Bagaimanapun beliau menegaskan, punca jangkitan bagi semua 19 anggota kesihatan KKM terbabit bukan disebabkan oleh ketidakpatuhan mereka, semasa mengendalikan kes COVID-19 di peringkat fasiliti masing-masing.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kesemua mereka merupakan kontak rapat generasi pertama dan kedua, melibatkan kluster jemaah tabligh,” katanya.

Sehingga 14 Mac, bilangan anggota KKM yang telah menjalani ujian saringan pengesanan COVID-19 adalah seramai 337 orang. Dari jumlah tersebut, 251 adalah didapati negatif – manakala baki 86 lagi masih menunggu keputusan (pending). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.