COVID-19: Dua Beranak Antara Empat Kes Kematian Terbaru, Lapan Kematian

KUALA LUMPUR, 21 Mac – Dua beranak merupakan antara empat kematian terbaru akibat COVID-19, yang menjadikan jumlah kumulatif kematian di Malaysia setakat ini ialah lapan orang.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes kematian kelima melibatkan seorang wanita rakyat Malaysia berusia 79 tahun yang telah dimasukkan ke Borneo Medical Centre, Sarawak pada 16 Mac setelah mengalami demam dan batuk selama lima hari.

Katanya pada hari kedua, wanita itu mengalami kesukaran bernafas namun ahli keluarga mangsa tidak setuju beliau diberi bantuan alat pernafasan.

“Beliau dibawa pulang oleh keluarga pada 17 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 18 Mac 2020. Beliau mempunyai kontak dengan dua orang lagi yang disahkan positif iaitu anak lelaki dan anak perempuan beliau,” menurutnya dalam kenyataan di laman Facebook beliau.

Dr Noor Hisham berkata kes kematian keenam pula melibatkan anak perempuan kes kematian kelima iaitu seorang wanita rakyat Malaysia berumur 40 tahun yang dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 18 Mac setelah mengalami demam dan batuk sejak 7 Mac.

“Beliau disahkan positif COVID-19 pada 19 Mac dan diberi bantuan pernafasan pada hari yang sama setelah didapati keadaan kesihatan beliau semakin merosot. Beliau disahkan meninggal dunia pada 1.20 tengah hari pada 21 Mac,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata kes kematian ketujuh melibatkan seorang lelaki rakyat Malaysia berumur 57 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Vietnam dan merupakan kontak kes positif COVID-19 daripada kluster tabligh.

Katanya lelaki itu dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac setelah mengalami gejala demam, batuk serta sakit tekak selama seminggu dan keadaan kesihatan beliau kemudian merosot sehingga memerlukan bantuan pernafasan pada keesokan harinya sebelum disahkan meninggal dunia pada 3.22 petang tadi.

Beliau berkata kes kematian kelapan pula membabitkan seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 69 tahun daripada kluster tabligh yang telah dimasukkan ke Hospital Tumpat pada 16 Mac setelah mengalami gejala demam sejak 12 Mac.

“Beliau telah dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu pada 18 Mac setelah didapati keadaan kesihatan merosot dan kemudian memerlukan bantuan alat pernafasan pada keesokan harinya. Beliau disahkan meninggal dunia hari ini pada pukul 4 petang,” katanya.

Kementerian Kesihatan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.