Melaka Terus Kukuh Hubungan Dua Hala Dengan Guangdong, China

MELAKA, 20 Mac – Kerajaan negeri Melaka akan meneruskan usaha memperkukuh hubungan dua hala antara Melaka dan Wilayah Guangdong di China, demi kemakmuran ekonomi antara kedua-dua pihak selain meneruskan hubungan yang sedia terjalin sejak dahulu lagi.

Wakil Khas Melaka ke Guangdong Datuk Seri Idris Haron berkata, antara sektor yang dilihat mampu memperkukuh hubungan sedia ada ialah ekonomi, pelaburan dan perindustrian, selain pertukaran budaya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir negeri itu berkata, hubungan dua hala itu akan menjadi pemangkin atau platform, mengembangkan lagi kerjasama yang lebih meluas dengan kerajaan China secara amnya, pada masa hadapan.

“Saya menerima pelantikan khas sebagai wakil Kerajaan Negeri Melaka ke Wilayah Guangdong, dan saya berbesar hati menerimanya, kerana saya menjadi sebahagian daripada Memorandum Persefahaman antara kedua-dua pihak pada 2015.

“Hari ini kita dapat melihat beberapa pengusaha dari Malaysia telah bertapak di Wilayah Guangdong, terutama di kawasan Industri Zhuhai dalam bidang perumahan, rekreasi dan pembinaan litar kereta F1, dan ia telah berlaku sekian lama,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Idris berkata hubungan dua hala itu juga, akan turut melibatkan pertukaran atau perkongsian maklumat serta teknologi pembangunan tanah, termasuk tebus guna tanah, pertanian, kesaling hubungan, perkongsian ilmu dalam perdagangan dan pelaburan, pelancongan, pembangunan taman perindustrian yang menggalakkan teknologi hijau, serta mempermudahkan komunikasi.

Dalam perkembangan lain, katanya Melaka berkemungkinan mempunyai dua lagi daerah kecil iaitu Sungai Rambai dan Masjid Tanah, selain tiga daerah sedia ada iaitu Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.

Beliau berkata ia bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan dan kebajikan rakyat, dapat diberi keutamaan.

“Kalau kita lihat daerah kecil Sungai Rambai yang sebelum ini telah digazetkan, dan ia merupakan satu inisiatif yang cukup baik bagi menyediakan perkhidmatan di sekitar Sungai Rambai atau Jasin barat,” katanya.

Idris berkata, pelaksanaan itu bagaimanapun memerlukan pembangunan infrastruktur yang lengkap dan teratur, bagi mengimbangi pembangunan antara bandar dan luar bandar. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.