COVID-19: Lebih Banyak Bank Tampil Beri Kelegaan Sementara – Shahril

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan memuji langkah institusi kewangan yang tampil menawarkan moratorium atau penangguhan sementara bayaran semula pinjaman bagi meringankan beban individu, syarikat korporat atau perniagaan yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Menurut beliau berkuatkuasa semalam dan kelmarin, lima buah lagi institusi perbankan tampil menawarkan kelegaan sementara (temporary relief) dalam bentuk moratorium bayaran balik pinjaman sehingga enam bulan kepada pengusaha perniagaan yang terjejas akibat Covid-19.

“Kelegaan lain adalah kelonggaran dalam bentuk membenarkan peminjam membuat permohonan penstrukturan semula pinjaman atau penjadualan semula pinjaman untuk memudahkan aliran tunai ketika saat mencabar ini.

“Ini sudah tentu akan memberi kelegaan sementara kepada puluhan ribu petani, pekebun kecil, pengusaha perniagaan, peruncit, usahawan industri kecil sederhana (IKS) dan pemilik perniagaan di negara ini yang kini berdepan impak negatif perniagaan akibat ekonomi suram atau berkembang perlahan di seluruh dunia,” katanya menerusi catatan di facebook.

Katanya lagi berdasarkan makluman Bantuan Kewangan oleh Persatuan Institusi Institusi Kewangan Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) yang meliputi 26 keahlian bank tempatan, sejumlah 20 institusi perbankan sudah mengumumkan tawaran kelegaan sementara sejak bulan lepas.

“Kelmarin, UMNO mencadangkan kerajaan supaya menimbang meringankan beban rakyat, antaranya termasuk menyediakan moratorium kepada syarikat yang terjejas akibat Covid-19, dengan syarat sebelum krisis ini, individu atau perniagaan terbabit mempunyai rekod bayaran semula yang baik. Alhamdulillah, suara UMNO didengar oleh kerajaan,” tambahnya.

Tambahnya lagi mulai semalam, misalnya, MBSB Bank menawarkan kelegaan pembiayaan kepada pelanggan runcit, korporat dan IKS.

Manakala peruncit pula ujar beliau lagi diberikan moratorium bayaran balik pinjaman sehingga enam bulan dan boleh memilih untuk menjadual atau menstruktur semula pinjaman, sementara syarikat korporat dan usahawan IKS pula boleh memohon penstrukturan semula atau penjadualan semula pinjaman.

“Public Islamic Bank Berhad pula menawarkan moratorium sehingga enam bulan bagi bayaran bulanan. Rakyat yang terjejas boleh memohon membuat penjadualan semula pinjaman

“CIMB Islamic Bank Bhd pula kelmarin (18 Mac) mengumumkan moratorium sehingga enam bulan dan penstrukturan semula bayaran pinjaman kepada usahawan yang terjejas. HSBC Amanah Malaysia Berhad pula memberikan komitmen membantu kelegaan kecairan kepada individu dan syarikat di mana pelanggan terjejas boleh memohon moratorium pembayaran semula,” katanya.

Sementara itu katanya lagi AgroBank turut sama menawarkan peminjam moratorium bayaran balik sehingga enam bulan dan permohonan bagi menstruktur atau menjadualkan semula bayaran balik pinjaman.

“SME Bank pula, selain daripada menyediakan kelegaan pembiayaan, turut mewujudkan pembiayaan khas sehingga RM1 juta kepada usahawan IKS di bawah Special Relief Fund (SRF).

“Rakyat boleh menghubungi institusi perbankan terlibat. Semoga rakyat akan mendapat manfaaat dan kelegaan daripada bantuan institusi perbankan ini.

“Marilah kita bersama menghadapi cabaran wabak Covid-19 ini dengan terus lebih banyak mencari solusi bagi meringankan beban rakyat daripada berpolemik politik,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.