Saringan Kesihatan: Khaled Gesa Kerajaan, Agensi Penguatkuasa Perlu Lebih Tegas

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berharap peserta Malaysia di himpunan tabligh di Makassar, Indonesia yang pulang ke negara ini mesti melalui saringan kesihatan dan melakukan ‘self-quarantine’ selama 14 hari.

“Saya juga berharap pihak kerajaan dan agensi penguatkuasa akan bertindak lebih tegas kepada mereka sebagai pengajaran kepada yang lain,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Ulasnya juga, walaupun perhimpunan tabligh di Makassar telah ditangguh, terdapat juga peserta dari Malaysia yang telahpun berada di sana.

“Menghadiri sebarang perhimpunan atau acara berskala besar dalam keadaan pandemik COVID-19 ini menjadikan diri mereka sebagai berisiko kepada orang ramai,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan yang berkaitan, di dalam satu lagi status di platform media sosialnya yang sama, bekas Menteri Besar Johor itu merayu dan menyeru kepada 4,000 peserta tabligh Masjid Seri Petaling yang masih belum membuat saringan kesihatan COVID-19 untuk segera tampil memberi kerjasama.

“Kerjasama anda dalam membantu pihak berkuasa menangani wabak ini akan membuka peluang lebih besar untuk kita selesaikan wabak ini dengan segera.

“Keluarga dan masyarakat perlu memainkan peranan jika mengenali jemaah ini untuk meminta mereka membuat saringan kesihatan dengan kadar segera,” tambahnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.