Patuhilah Perintah Kawalan Pergerakan… Kerajaan Lakukan Demi Keselamatan, Nyawa Rakyat – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Menteri Kanan yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru rakyat agar lebih patuh terhadap penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Tegas Naib Presiden UMNO itu, apa yang dilakukan oleh kerajaan tidak lain dari semata-mata untuk menjaga keselamatan dan nyawa rakyat.

“Hari ini hari kedua selepas pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan, keadaan sedikit tenang.

“Namun masih ramai yang tidak patuh. Masih berkeliaran di mana-mana seolah-olah tiada apa yang berlaku di mana hari ini sebanyak 975 didapati positif #Covid-19,” kesalnya dalam satu hantaran di Facebook, malam ini.

Untuk rekod, semasa sidang medianya siang tadi, Ismail berkata kadar pematuhan rakyat terhadap perintah tersebut sehingga hari ini hanya 60 peratus sahaja.

Justeru itu tambahnya, besar kemungkinan jika kadar pematuhan di peringkat rendah, tentera akan digunakan untuk membantu pihak polis mengawal keadaan.

Kerana itulah juga Ismail menyeru rakyat agar hanya tinggal di rumah sahaja sepanjang perintah tersebut.

Manakala bagi Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu hantaran di Facebooknya berkata kes COVID-19 telah menular di semua negeri di Malaysia dan dijangkakan akan semakin meningkat.

“Sila bantu KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) bersama memutuskan rangkaian jangkitan ini dengan duduk di rumah dan jangan keluar,” gesanya. – UMNO ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.