Kelangsungan Hidup Rakyat Perlu Diutamakan – Dr. Najmil

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Kerajaan perlu memastikan penularan wabak Covid-19 tidak menjejaskan kelangsungan hidup rakyat Malaysia terutama sekali mereka yang bekerja di sektor yang terjejas teruk, kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris.

Ujarnya, pada masa yang sama, pemain industri juga perlu sentiasa memikirkan kebajikan pekerja di mana cuti tanpa gaji atau pengurangan gaji ketika terjejas dengan gelombang Covid-19, adalah lebih baik daripada mereka kehilangan pekerjaan jika Covid-19 berterusan.

“Inisiatif kerajaan melalui Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) yang memberi bantuan kewangan sebanyak RM600 sebulan untuk tempoh maksimum enam bulan kepada pekerja yang terjejas amatlah dihargai.

“Di samping kerajaan bertungkus lumus mengawal penyebaran wabak ini, aspek kebajikan rakyat juga perlu kita tekankan di mana rata-rata rakyat Malaysia sudah mula risau tentang kelangsungan hidup mereka jika Covid-19 berpanjangan,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Tambah Dr. Najmil, laporan Asian Development Bank menunjukkan kemerosotan ekonomi yang dialami negara di benua ini akibat pelunaran wabak Covid-19 dan Malaysia mengalami 0.23 % kemerosotan dari keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Perkara tersebut katanya, sudah tentu memberi impak negatif terhadap pertumbuhan ekonomi negara apabila sektor-sektor utama terjejas seperti pelancongan yang menyumbang RM84.1 bilion kepada pertumbuhan ekonomi negara pada tahun lepas.

“Berdasarkan kenyataan Perdana Menteri, KDNK akan berkurangan sebanyak 0.8% hingga 1.2% tahun ini, iaitu penurunan sebanyak RM10.8 bilion hingga RM17.3 bilion walau bagaimanapun ekonomi negara dijangka masih kukuh dengan rangsangan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan sebanyak RM 20 bilion,” ujar Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu itu lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.