Jangan Panik, Beri Kerjasama… Usaha Tangani COVID-19 Tanggungjawab Bersama- Jais

JOHOR BAHRU, 18 Mac – Bendahari UMNO Negeri Johor, Datuk Md Jais Sarday hari ini mengharapkan supaya semua pihak jangan merasa panik dan dalam masa yang sama memberikan kerjasama dalam mengurangkan pergerakan masing-masing dalam tempoh dua minggu ini.

Tambahnya, usaha menangani COVID-19 bukan terletak pada agensi kerajaan tertentu sahaja, tetapi ia adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia.

“Hari ini, 18 Mac hingga 31 Mac 2020, kerajaan telah menguatkuasakan langkah drastik untuk mengurangkan pergerakan seluruh rakyat Malaysia supaya meminimakan ‘body contact’ (sentuhan badan) antara sesama manusia bagi mengelakkan penyebaran virus COVID-19.

“Kita harus faham dan sedar bahawa COVID-19 ini yang sangat merbahaya kerana kita tidak tahu siapa di antara kita yang menjadi jadi ‘host’ (pembawa) virus ini sehingga mendapatkan pengesahan atau membuat pemeriksaan doktor.

“Penyebaran virus ini berlaku sangat cepat dengan kadar sekurang-kurangnya satu nisbah tiga (1:3) untuk setiap ‘host’ virus apabila berlaku sentuhan badan atau ketika batuk mahupun bersin,” ujarnya melalui lontaran dalam laman Facebooknya.

Tambahnya, virus baharu ini belum mempunyai vaksin atau ubat yang berkesan.

“Sehubungan itu, saya menasihatkan semua pihak agar mematuhi arahan dan membantu kerajaan dalam menangani masalah ini dengan tidak keluar rumah tanpa urusan penting, seperti bersantai, bermain futsal dan bersukan, mengadakan aktiviti kemasyarakatan, bantuan dan yang seangkatan dengannya.

“Kita juga telah disarankan agar tidak bersalaman atau melakukan ‘body contact’ sekiranya tiada keperluan – cukuplah dengan meletakkan tangan di dada menggantikan salam.

“Sekiranya mengalami simptom (tanda-tanda) seperti batuk, selsema, sesak nafas atau sesuatu yang meragukan – sila dapatkan pengesahan doktor secara sukarela, samada dari klinik kerajaan atau swasta dan mengikuti langkah-langkah yang sewajarnya,” ujarnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Kluang.

Jelasnya juga, inilah masanya kita rakyat bersatu padu, bukannya masa untuk mencari laba politik dan sebaiknya bersama-sama tidak kira agama, bangsa mahupun ideologi politik untuk mendoakan agar wabak COVID-19 ini selesai dengan cepat serta kembali kepada kehidupan normal bersama keluarga dan masyarakat sekeliling. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.