Ikutlah Perintah Kawalan Pergerakan, Demi Kepentingan Bersama – Presiden UMNO

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Ikutlah Perintah Kawalan Pergerakan demi kepentingan bersama.

Demikian pesanan ringkas Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu lontaran di Facebook.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut menyeru rakyat agar bersama-sama membantu pihak kerajaan dan agensi yang terbabit mengekang wabak COVID-19 dari terus berleluasa.

“Orang ramai pastikan berada di rumah sepanjang masa bagi mengelakkan wabak ini merebak kecuali untuk mendapatkan keperluan asas. Sila ambil perhatian,” tegasnya.

Terdahulu, dalam platform yang sama, Ahmad Zahid turut mengucapkan terima kasih kepada semua Wira Negara yang bertugas setiap masa menangani wabak yang menjadi pandemik itu.

“Kuatkan semangat Malaysia, kita harungi cabaran ini bersama,” katanya yang dinukil dalam satu grafiknya.

Untuk rekod, hari ini Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam satu kenyataan menasihatkan orang ramai supaya berada di rumah sepanjang masa sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan bermula hari ini hingga 31 Mac ini kecuali untuk memenuhi keperluan asas dan mengamalkan penjarakkan sosial daripada orang sekeliling supaya dapat mengelakkan jangkitan COVID-19.

MKN juga berkata Pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota RELA turut telah dilantik sebagai pegawai diberi kuasa di bawah Seksyen 3 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) bagi meningkatkan lagi keberkesanan Perintah Kawalan Pergerakan itu.

Dalam perkembangan yang sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu catatan di Facebooknya merayu kepada semua rakyat agar mengambil serius Perintah tersebut dengan pesanan tinggal di rumah dan jarakkan diri daripada orang lain.

“Kegagalan bukan pilihan di sini. Jika tidak, kita mungkin menghadapi gelombang ketiga virus ini, yang seterusnya akan menjadi lebih besar seperti tsunami, lebih-lebih lagi, jika kita mempunyai sikap ‘tidak kisah’,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.