Empat Loji Rawatan Air Di Selangor Kembali Beroperasi – LUAS

SHAH ALAM, 18 Mac – Empat Loji Rawatan Air Selangor (LRA) yang dihentikan operasi selama tiga jam semalam akibat pencemaran bau di Sungai Selangor kembali beroperasi selepas kerja pengepaman air mentah dari kolam alternatif di Bestari Jaya berjaya dilakukan malam tadi.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), dalam kenyataan hari ini, memaklumkan pihaknya bertindak pantas dengan mengepam 972 juta liter air sehari (JLH) daripada kolam alternatif di Bestari Jaya untuk meningkatkan kadar pencairan di Sungai Selangor.

Pada masa sama, pembukaan sementara pintu 5 di Baraj Bestari Jaya untuk mempercepatkan aliran ke hilir Sungai Selangor berjaya membantu meningkatkan pencairan, katanya.

Susulan tindakan itu, katanya, empat LRA berkenaan – Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa Fasa 3 (SSP3) dan LRA Rantau Panjang – beroperasi semula sekitar jam 10.15 malam hingga 10.30 malam tadi.

Menurut LUAS, bahan pelarut di kawasan Sungai Gong dan Sungai Bakau, Rawang, disyaki menjadi punca insiden pencemaran bau dua ton di Sungai Selangor sehingga menyebabkan empat LRA terpaksa dihentikan operasi sekitar jam 5.45 petang hingga 7 malam.

Menurut kenyataan itu, siasatan mengesyaki bau seperti pelarut sekitar empat ton itu berpunca daripada Kawasan Perindustrian Kecil Sungai Bakau, Country Home, Rawang, yang dianggarkan berada pada jarak 17 kilometer daripada LRA Rantau Panjang.

Pensampelan kualiti air kemudiannya dilaksanakan LUAS bagi tujuan analisis oleh Jabatan Kimia.

Empat LRA yang dihenti tugas itu menyebabkan gangguan air tidak berjadual di tujuh wilayah iaitu Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Bagaimanapun, bekalan air dipulihkan secara beperingkat. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.