40 Kertas Siasatan Dibuka Berhubung Berita Tidak Sahih COVID-19

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Sebanyak 40 kertas siasatan dibuka berhubung penyebaran berita tidak sahih mengenai jangkitan COVID-19 di media sosial sejak 25 Jan lepas sehingga semalam, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 11 kes telah dituduh mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, tiga kes tiada tindakan lanjut oleh Timbalan Pendakwa Raya dan 26 kes masih dalam siasatan.

Menurutnya, semua kes tersebut diklasifikasikan di bawah Seksyen 505 (b) iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan.

“Orang ramai digesa untuk menghentikan sebarang kenyataan ataupun artikel yang tidak sewajarnya dimuat naik atau dikongsi di laman sosial dan sebagainya.

“Penularan kenyataan atau bahan-bahan berkaitan fakta isu ini dikhuatiri akan menimbulkan kerisauan dan mencetuskan kegentaran dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya, pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang didapati sengaja mensensasikan isu berkenaan.

Seksyen 505 (b) memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya manakala Seksyen 233, memperuntukkan hukuman penjara selama setahun, denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERNAMA