Peranan Semua Pihak Jayakan Perintah Kawalan Pergerakan Bendung Wabak COVID-19

MELAKA, 17 Mac – Ketua Wanita UMNO Melaka Haryaty Hamdzah berpandangan langkah Perintah Kawalan Pergerakan perlu dijayakan secara bersama oleh pelbagai pihak.

Beliau menyeru rakan-rakan ahli parti terutamanya Ahli Wanita UMNO untuk mengehadkan pergerakan dan mengambil langkah penjagaan rapi bagi mengelakkan wabak ini terus menular.

“Tempoh kawalan yang agak lama diberikan ini, bukan ruang untuk melawat saudara mara, jiran tetangga.

“Juga bukan ruang untuk bercuti bersama keluarga di kawasan umum. Hadkan pergaulan, sama-sama kita bendung wabak ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru tambahnya, Wanita UMNO Kota Melaka menyambut baik keputusan kerajaan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang akan bermula pada 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020, di seluruh negara dalam usaha membendung wabak COVID-19.

Seterusnya Haryaty menyeru semua untuk terus memanjatkan doa kepada Allah SWT dan berikhtiar semoga wabak ini segera berakhir.

Untuk rekod, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu sidang medianya malam tadi merayu agar rakyat sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan di mana ia adalah tanggungjawab bersama dan tindakan drastik perlu diambil dalam kadar segera untuk menyekat penularan wabak COVID-19 dengan cara mengehadkan pergerakan orang ramai serta ini merupakan satu-satunya cara untuk mengelakkan lebih ramai rakyat negara ini dijangkiti wabak yang boleh meragut nyawa itu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.