Kiasu, Kiasi… Belilah Sekadar Perlu, Perintah Kawalan Pergerakan Bukan Perintah Berkurung – Mike Chong

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Ahli Jawatankuasa Pemuda MCA Pusat Mike Chong Yew Chuan dalam satu hantarannya di Facebook, mengajar dua patah perkataan bahasa Hokkien hari ini iaitu ‘kiasu’ dan ‘kiasi’ masing-masing bermaksud takut kalah dan takut mati.

Katanya, sememangnya kiasi (takut mati) lebih menakutkan daripada kiasu (takut kalah), tetapi apa yang berlaku dengan segelintir rakyat Malaysia sekarang bukan kiasi, tetapi sebenarnya kiasu.

“Kita perlu faham bahawa kerajaan hanya mengenakan ‘perintah kawalan pergerakan’ (restricted movement order), dan bukannya ‘perintah berkurung’ (lockdown order).

“Maksudnya kita masih lagi boleh keluar rumah dan bekalan barangan harian masih mencukupi.

“Jadi tak payahlah beli beras, roti, sardin, mi Maggi, makanan tin, sayur, daging, kertas tisu, ubat gigi… berlambak-lambak,” ujar Ketua Pemuda MCA Wangsa Maju itu lagi.

Tetapi bidasnya, disebabkan perangai ‘kiasu’ segelintir pihak, semua orang berlumba-lumba membeli dan akhirnya rumah kediaman pula seolah-olah menjadi kedai runcit atau serbaneka, mengambil contoh seperti KK Mart.

“Cukup-cukuplah beli sekadar yang perlu.

“Dan yang paling pelik, beli makanan sudahlah, ini tisu tandas pun nak rampas buat apa? Soal Mike Chong lagi.

Malam tadi, dalam satu sidang media, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai esok hingga 31 Mac ini yang meliputi seluruh negara bagi menyekang penularan wabak Covid-19.

Perdana Menteri turut merayu agar rakyat sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan di mana ia adalah tanggungjawab bersama dan tindakan drastik perlu diambil dalam kadar segera untuk menyekat penularan wabak tersebut dengan cara mengehadkan pergerakan orang ramai serta ini merupakan satu-satunya cara untuk mengelakkan lebih ramai rakyat negara ini dijangkiti wabak yang boleh meragut nyawa itu.

Perintah kawalan ini dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.