Jom Sumbang Tenaga Sertai Sukarelawan Perubatan Tangani COVID-19 – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Pengerusi Kluster Doktor Muda Pemuda UMNO, Dr. Akmal Salleh mengajak individu yang mempunyai latarbelakang perubatan untuk sama-sama menyumbang tenaga menjadi sukarelawan pasukan bantuan kesihatan bagi menangani pandemik COVID-19.

Menurut beliau, langkah itu perlu dan cukup penting dalam usaha bergerak seiring dengan kerajaan dalam usaha membantu permasalahan tersebut dengan menghulurkan khidmat bakti sedemikian rupa.

“Saya ingin mengajak kepada semua sahabat-sahabat yang mempunyai latar belakang perubatan tidak kira doktor, jururawat, pembantu kesihatan mahupun pembantu perawat kesihatan untuk kita sama-sama menyumbang tenaga menjadi sukarelawan pasukan bantuan kesihatan bagi menangani COVID-19,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Jelasnya lagi, pendaftaran boleh dibuat menerusi pautan berikut:  https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSdnO5pPnHNCFlQ9QnaNk224JI0nZBcvNh4wKasLFpxfbAsMKQ/viewform

Tambah Dr. Akmal, beliau juga menyeru semua pihak melupakan soal-soal yang berkaitan dengan fahaman politik mahupun segala-galanya kerana negara hari ini memerlukan bantuan mereka yang berada di dalam bidang sedemikian dan ia merupakan tanggungjawab bersama untuk membantu negara.

Dalam perkembangan sama beliau melihat penularan COVID-19 seharusnya diuruskan dengan baik serta dikawal dan mencegahnya adalah satu perkara yang harus dititikberatkan sebelum ia lebih menjadi parah.

“Justeru rakyat pelbagai peringkat seharusnya akur dan menjayakan Perintah Kawalan Pergerakan sepertimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam dalam usaha membantu mengekang penularan wabak tersebut.

“Setiap individu haruslah mempunyai tanggungjawab bersama mencegah penularan penyakit ini dan jika mengambil ringan penularan ini maka ia akan lebih mudah disebarkan. Saya menyokong sepenuhnya, bahawa penyakit COVID-19 ini sepatutnya diurus, dikawal dan dicegah dari diri sendiri.

“Ini adalah sangat-sangat sukar untuk kita membendung sebab jika dilihat pergerakan manusia ini adanya keluar dan masuk di mana-mana tempat umum dan ini akan lebih menyukarkan lagi proses untuk mengawal penularan penyakit COVID-19,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.