COVID-19: Jangan Panik, Berikan Kerjasama Dan Dapatkan Info Sahih Dari Pihak Berautoriti – Mahdzir

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid menyeru agar masyarakat tidak berasa panik dengan situasi dalam negara susulan pandemik COVID-19.

Namun begitu katanya dalam satu hantaran di Facebook, anggota masyarakat wajib mematuhi setiap arahan, nasihat dan peringatan pihak berkuasa dalam menangani pandemik ini.

“Tingkatkan kesedaran dalam melaksanakan langkah-langkah pencegahan seperti yang diumumkan oleh pihak berkuasa, bermula daripada diri sendiri, keluarga dan komuniti setempat.

“Bersama-samalah kita membantu usaha pihak berkuasa dan dalam masa yang sama terus berdoa agar situasi semakin pulih,” tambahnya lagi.

Ahli Parlimen Padang Terap itu turut menyeru rakyat agar mendapatkan info sahih dan terkini hanya daripada sumber pihak berwajib dan tidak melibatkan diri dalam penyebaran berita atau info separa benar mahupun tidak benar.

Malam tadi, dalam satu sidang media, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai esok hingga 31 Mac ini yang meliputi seluruh negara.

Perdana Menteri turut merayu agar rakyat sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan di mana ia adalah tanggungjawab bersama dan tindakan drastik perlu diambil dalam kadar segera untuk menyekat penularan wabak COVID-19 dengan cara mengehadkan pergerakan orang ramai serta ini merupakan satu-satunya cara untuk mengelakkan lebih ramai rakyat negara ini dijangkiti wabak yang boleh meragut nyawa itu.

Perintah kawalan ini dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.