Agong Titah Rakyat Malaysia Patuhi Perintah Kawalan Pergerakan

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan seluruh rakyat Malaysia agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berganding bahu membendung wabak COVID-19 di negara ini.

Perintah itu berkuat kuasa mulai 18 hingga 31 Mac.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka menzahirkan bahawa rakyat perlu menghadapi situasi ini dengan penuh tenang dan tidak cemas bagi membantu kerajaan serta pihak berkuasa membendung jangkitan COVID-19 di negara ini.

“Seri Paduka Baginda menggesa rakyat agar tidak mengambil sikap mudah dan sambil lewa terhadap Perintah Kawalan Pergerakan ini. Rakyat turut diminta untuk mengikuti panduan dan langkah pencegahan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia kerana ini adalah tanggungjawab kita bersama terhadap kesejahteraan dan keselamatan keluarga, masyarakat dan negara yang kita cintai ini,” katanya dalam kenyataan Istana Negara hari ini.

Menzahirkan keprihatinan dengan peningkatan jumlah kes baharu COVID-19 di negara ini yang menyaksikan jumlah 553 kes di Malaysia semalam, Al-Sultan Abdullah amat memandang serius terhadap peningkatan jangkitan COVID-19 di negara ini dan menaruh penuh kepercayaan kepada kerajaan dan semua pihak berkuasa dalam menjalankan tanggungjawab membendung penularan penyakit itu.

Ahmad Fadil berkata Seri Paduka sedar bahawa rakyat mungkin merasakan tindakan kerajaan Perikatan Nasional itu menimbulkan kesulitan untuk menjalani kehidupan seharian.

“Namun, kita perlu faham dan bersabar kerana kerajaan tidak boleh menunggu sehingga situasi ini menjadi lebih meruncing untuk mengambil tindakan yang drastik.

“Selaku Ketua Negara, Seri Paduka Baginda turut menyeru supaya rakyat Malaysia, dari pelbagai bangsa dan agama, bersatu dan bersama berganding bahu memainkan peranan membantu kerajaan dalam menangani penularan COVID-19 di negara ini.

“Seri Paduka Baginda yakin dengan semangat kental, keprihatinan dan kerjasama yang rakyat berikan, kita mampu membendung penularan wabak ini dengan cepat dan berkesan,” katanya.

Ahmad Fadil berkata Seri Paduka turut menitahkan rakyat agar menghubungi Khidmat Nasihat Kesihatan Dalam Talian atau Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) melalui laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia untuk sebarang keraguan serta pertanyaan untuk mengelak penyebaran berita dan maklumat palsu yang boleh mencetuskan panik dan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Yang di-Pertuan Agong menzahirkan ucapan penghargaaan dan terima kasih kepada kerajaan pimpinan Muhyiddin, agensi-agensi Kerajaan serta kepada wira-wira tidak didendang, khususnya semua petugas kesihatan, penjawat awam dan semua pihak berkorbankan masa bertungkus-lumus di atas usaha-usaha dan tindakan untuk memastikan langkah pencegahan serta kawalan dilaksanakan secara berkesan.

“Seri Paduka Baginda turut menyeru agar rakyat bersama-sama baginda berdoa memohon ihsan Allah SWT supaya usaha-usaha kita ini dirahmati dan diberkati agar situasi COVID-19 dapat ditangani dan berakhir dengan segera, insya-Allah.” – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.