UMNO Hari Ini Hadapi Cabaran Cukup Besar, Bukan Perkara Mudah – Shahril
KUALA LUMPUR, 16 Mac – Ketua Penerangan UMNO yang baharu, Shahril Sufian Hamdan melihat cabaran yang dihadapi parti hari ini bukan perkara yang cukup mudah dan bukan perkara yang cukup kecil walaupun UMNO telah menjadi sebahagian daripada kerajaan hari ini.
Menurut beliau cabaran yang mendatang adalah cukup besar dan menjadi sebahagian dari kerajaan bukanlah memberi satu kelebihan sebaliknya pelbagai perkara perlu diambil kira dalam usaha memastikan kesinambungan jentera penerangan khususnya dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
“Cabaran yang dihadapi pada hari ini bukan kecil walaupun parti hari ini menjadi sebahagian daripada kerajaan dan ianya tidak sama sekali memberi kelebihan.
“Kita sedia maklum… kita tidak mengundi kerajaan hari ini … tapi cakap macam mana sekali pun UMNO sebahagian daripada kerajaan hari ini namun sekarang kita diambang krisis ekonomi dunia dan negara.
“Dalam konteks itu, saya dilantik untuk menggalas amanah ini dan saya perlukan sokongan dan dokongan semua pihak. Mungkin kita perlu buat sedikit peralihan dalam usaha menyesuaikan dengan senario semasa dan penekanan kepada penerangan berorientasikan rakyat. Insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Penerangan UMNO bersama mantannya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, di sini, hari ini. Turut bersama dalam majlis tersebut ialah Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad serta kakitangan Penerangan UMNO Malaysia.
Dalam ucapannya, Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti atas kepercayaan yang diberikan selaku Ketua Penerangan parti dan terharu dengan kepercayaan tersebut.
Ini kerana katanya sebelum ini beberapa figura besar seperti Dr Shamsul Anuar Nasarah sendiri, Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Seri Mustapha Mohamad dan Tan Sri Muhamad Mohd Taib serta beberapa pimpinan lain yang diberikan kepercayaan menggalas tanggungjawab berkenaan.
“Pada saya ini penghormatan institusi kepimpinan yang memberi peluang kepada anak muda dalam keadaan landskap politik yang berbeza. Keduanya saya rasa tidak terlalu awal untuk mengucapkan terima kasih kepada Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah yang sebelum ini mengemudi Penerangan.
“Apa yang Dr Shamsul lakukan selama 22 bulan bukanlah perkara mudah apabila mengemudi Penerangan dalam keadaan kita menjadi pembangkang buat kali yang pertama. Pada ketika itu beliau perlu mengubah fungsi penerangan parti daripada penekanan terhadap soal dasar-dasar kerajaan kepada yang menjadi sebaliknya. Itulah cabaran yang dihadapi dan Dr Shamsul berjaya dengan sebaiknya,” ujarnya lagi.
Dilaporkan, Khamis lalu Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan media memaklumkan Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO yang baharu menggantikan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah.- UMNO Online