Tohmahan ‘Kerajaan Pintu Belakang’ Tidak Tepat, Harus Dihentikan Segera – Sultan Selangor

SHAH ALAM, 16 Mac – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya tohmahan mengatakan pembentukan Kerajaan Persekutuan yang baharu sebagai ‘kerajaan pintu belakang’ atau rampasan kuasa harus dihentikan segera.

Ini kerana titah baginda, tohmahan seumpama itu adalah tidak tepat memandangkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah diberi kuasa untuk menggunakan budi bicara Seri Paduka sebagaimana diperuntukkan dalam undang-undang.

“Baru-baru ini kita telah melihat perubahan tampuk pemerintahan Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh kerajaan Perikatan Nasional bagi menggantikan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Beta sendiri mengikuti perkembangan perubahan kuasa itu yang dilaksanakan oleh Yang di-Pertuan Agong dengan cukup berhati-hati selepas perundingan teliti dan terbuka diadakan. Ia juga selaras dengan peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-14 di Bangunan DUN di sini, hari ini.

Tegas Sultan Sharafuddin, dalam menegakkan pemerintahan berkonsepkan demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan, institusi raja tidak sepatutnya dilihat terlibat secara langsung dengan isu berkaitan politik dan seharusnya kekal sebagai sebuah badan yang mengatasi politik.

Baginda juga bertitah, rakyat sebenarnya telah penat dan gelisah melihat pergolakan politik negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 sehingga ke hari ini.

“Kita semua sedia maklum betapa rakyat ketika ini mengalami kesempitan hidup yang amat sangat dengan kos sara hidup meningkat akibat kemelesetan ekonomi dunia, matawang ringgit merudum, peluang pekerjaan mengecil mengakibatkan peningkatan pengangguran serta penularan COVID-19 ketika ini.

“(Namun) Ahli-ahli politik dilihat sering kali berbalah dalam isu politik tidak berkesudahan sehingga melupakan tanggungjawab sebenar mereka untuk melaksanakan amanah yang diberi iaitu mentadbir negeri dan memberi faedah kesejahteraan kepada rakyat,” titah baginda.

Justeru, Sultan Sharafuddin menasihatkan wakil rakyat Selangor supaya sentiasa memelihara kestabilan politik serta pentadbiran negeri berkenaan dan memberikan tumpuan kepada penyelesaian permasalahan bagi memastikan rakyat dapat keluar daripada kesempitan hidup.

Baginda bertitah perkara itu hanya akan dapat dicapai dengan pelaksanaan dasar-dasar yang boleh memangkin pertumbuhan ekonomi mampan dan menguntungkan rakyat, bukannya sibuk berbalah bagi merebut kuasa serta kedudukan.

Sultan Sharafuddin juga mengingatkan supaya perbezaan tampuk pemerintahan dan ideologi politik antara negeri dan persekutuan tidak akan menyebabkan rakyat Selangor terpinggir dalam arus pembangunan ekonomi dan sosial.

Titah baginda, walaupun Kerajaan Negeri Selangor ditadbir oleh PH, namun kerjasama erat diharap dapat dijalinkan antara negeri dan persekutuan demi kelangsungan pembangunan ekonomi serta kemakmuran rakyat di negeri berkenaan.

“Sebagai Sultan di Negeri Beta (Selangor), Beta bertanggungjawab untuk menasihati Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian supaya tidak melakukan sesuatu tindakan yang boleh merugikan rakyat Beta.

“Beta tidak mahu ada dalam kalangan Ahli Yang Berhormat mempunyai hasrat dan niat untuk mengucar-kacirkan pentadbiran serta pemerintahan Negeri Selangor. Beta mahu Ahli-ahli Yang Berhormat berusaha memastikan kestabilan politik di negeri ini sentiasa terpelihara demi kesejahteraan rakyat Selangor,” titah baginda. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.