Menteri PH ‘Coronapalatau’, Bukan Saya Politikkan COVID19 – Najib

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menafikan penulis-penulis media sosial Pakatan Harapan (PH) yang menuduhnya mempolitikkan isu wabak COVID-19.

Bidasnya, yang memandang rendah dan sindir wabak tersebut dengan menyamakannya dengan denggi serta menggelarnya sebagai ‘Coronapalatau’ adalah menteri-menteri serta saluran rasmi kerajaan PH.

“Bukan saya. Apa yang saya tulis berhubung Covid adalah demi kebaikan negara.

“Apa salahnya saya berkongsi pengalaman kerajaan BN (Barisan Nasional) dahulu yang pernah berjaya menyelamatkan ekonomi negara dari impak ‘the Great Recession’ tahun 2008-2009?

“Sebab itu, ianya tidak betul untuk tuduh saya politikkan isu wabak Covid ini,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Ulas Najib juga, beliau banyak menulis tentang Coronavirus itu sejak wabak mula merebak pada akhir bulan Januari lalu.

“Saya antara ahli Parlimen pertama yang menyeru kerajaan PH dahulu untuk gantung kemasukan warga China pada 25 Jan 2020 masa jumlah kes Covid seluruh dunia masih di bawah 900 kes.

“Saya juga satu-satunya ahli Parlimen yang mengkritik kerajaan PH apabila mereka enggan menyekat pelancong dengan pelbagai alasan bahawa wabak Covid tidak kritikal dan penyekatan warga asing tidak dibenarkan di bawah undang-undang.

“Ya, saya sering memberi ‘update’ tentang kelajuan kes Covid merebak dan bagaimana situasi boleh berubah dengan amat cepat, berkongsi pandangan-pandangan saya tentang langkah-langkah yang patut diambil kerajaan dan saya antara ahli politik pertama yang menyeru semua peserta acara tabligh di Masjid Sri Petaling untuk segera berhubung dengan kementerian kesihatan,” jelasnya lagi.

Tambahnya lagi, beliau juga sering memberi amaran untuk tidak pandang rendah impak ekonomi Covid apabila menteri-menteri PH mengatakan tiada kesan negatif kepada ekonomi dan Malaysia bebas dari risiko kemelesetan ekonomi akibat Covid.

Ujarnya lagi, dalam semua posting-posting berhubung Covid, beliau tidak pernah menyindir, ‘troll’ atau membuat tuduhan yang tidak berasas. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.