KBS Ambil Tindakan Segara Cegah COVID-19 – Reezal

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil tindakan segera dengan menutup sementara semua fasiliti Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) yang pernah dikunjungi oleh Jackie Wong Siew Cheer selepas atlet baling tukul besi negara itu disahkan positif COVID-19.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata ia bertujuan untuk proses pembasmian atau sanitasi yang sepenuhnya, yang dijangka selesai dalam tempoh dua hingga tiga hari.

“Atlet tersebut telah pun pulang ke Sarawak pada 11 Mac dan dikuarantin di Hospital Sibu. Sebagai langkah segera untuk keselamatan dan kesihatan atlet-atlet pelbagai acara sukan, saya telah mengarahkan agar fasiliti MSN dan ISN yang telah dikunjungi atlet tersebut untuk ditutup sementara.

“Dengan kerjasama dan mengambil kira nasihat dan arahan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), atlet-atlet, jurulatih dan pegawai yang pernah berhubung rapat dengan Jackie akan diasingkan dan telah dinasihati untuk kuarantin di asrama, menjalani ujian saringan dan menurut nasihat KKM yang selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk SM Muthu mengesahkan bahawa pemegang rekod kebangsaan acara baling tukul besi lelaki, Jackie sebagai atlet negara pertama yang disahkan positif virus itu.

Atlet berusia 28 tahun yang memegang rekod kebangsaan 68.22 meter yang dicatatkan pada Kejohanan Tertutup KOM pada Ogos lepas, dipercayai dijangkiti daripada ayah beliau yang juga didapati positif COVID-19.

Jackie merupakan pemenang pingat gangsa Sukan SEA sebanyak tiga kali berturut-turut dari 2011 hingga 2015, sebelum meraih emas pada edisi 2017 di Malaysia, namun pada edisi lalu di Filipina, beliau terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Di peringkat Asia, Jackie menamatkan saingan Sukan Asia 2018 di Indonesia di tempat ketujuh dengan 65.92m, selain pencapaian tempat kelapan dalam Kejohanan Asia 2017 dan 2019. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.