Galas Amanah Ketua Penerangan Ketika Parti Hilang Kuasa Cukup Mencabar – Dr Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Mantan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata pelbagai cabaran yang ditempuhi sepanjang menjawat jawatan berkenaan selepas buat pertama kalinya UMNO tidak lagi menjadi parti pemerintah bersama rakan-rakan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu merupakan pengalaman yang cukup berharga dan sangat mencabar.

Menurut beliau sejak hilang kuasa parti berkenaan hilang segala-galanya dan UMNO menapak terus ke depan dan pada waktu itu UMNO-Online menjadi saluran selain daripada penyumbang-penyumbang sukarelawan parti yang lain.

“Namun kita terus bergerak dan saya menghadapi satu keadaan yang cukup sukar. Bayangkan kita berdepan dengan pilihan raya kecil dan sebagainya lagi dengan kekangan tertentu dan apa pun pengalaman dan juga cabaran menjawat Ketua Penerangan selepas UMNO menjadi pembangkang adalah satu perkara yang tidak akan dilupakan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata demikian pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Penerangan UMNO bersama Shahril Sufian Hamdan, di sini, hari ini. Turut bersama kakitangan Penerangan UMNO Malaysia.

Pada majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan anugerah kepada UMNO-Online atas kejayaan menerima anugerah Silver Play Button dari Youtube dengan Ketua Pengarangnya, Al-Kamalrolzaman Abd Latif menerima bagi pihak UMNO-Online.

Dr Shamsul Anuar seterusnya menambah dalam kepayahan berkenaan, tugas dan tanggungjawabnya dapat dilaksanakan sebaik mungkin dan percaya Shahril Sufian sebagai Ketua Penerangan UMNO yang baharu akan dapat melaksanakan amanah dengan penuh wibawa dan selaku orang muda sudah pasti ianya dapat digemblengkan sebaik mungkin.

“Sebelum ini kita telah mulakan ensiklopedia UMNO dan ianya cukup penting untuk ditulis sejarah UMNO itu sendiri. Apapun maklumbalas yang saya terima di bawah cukup baik dan  cukup penting bagaimana kita mahu menggerakkan penerangan-penerangan UMNO di negeri. Insya-Allah kita mampu lakukan secara bersama,” ujarnya.-

Dilaporkan, Khamis lalu Majlis Kerja Tertinggi UMNO memutuskan melaintik Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan sebagai Ketua Penerangan UMNO baharu menggantikan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah. UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.