Covid 19: Pemuda UMNO Cadang Isytihar Perintah Berkurung, Aktifkan Majlis Keselamatan Khas

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menggesa kerajaan untuk segera mengisytiharkan perintah berkurung bagi mengekang dan menghentikan segera penularan virus Korona Covid-19 di kalangan rakyat jelata.

Kata Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, kenaikan mendadak 190 atau hampir 200% kes baharu mangsa yang dijangkiti Covid-19 dalam tempoh 24 jam sebagaimana diumumkan Menteri Kesihatan kelmarin adalah berita yang amat membimbangkan.

“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menegaskan arahan berkurung ini juga mengambil iktibar pengalaman negara-negara luar contohnya Itali, China dan Denmark agar kita lebih proaktif menangani wabak ini dan mengelakkan keadaan negara lebih parah.

“Pemuda juga menyarankan agar seluruh rakyat Malaysia menyemai sikap ‘self-awarenes’ terhadap pencegahan penularan pendemik ini selain terus berdoa dan menunaikan solat hajat agar Allah melindungi rakyat dan negara daripada malapetaka yang membimbangkan ini,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya lagi, kerajaan juga harus segera mengaktifkan Majlis Keselamatan Khas yang melibatkan kementerian-kementerian di bawah kluster keselamatan untuk mempertimbangkan cadangan yang berikut:

1. Mengarahkan semua masjid, gereja dan rumah ibadat lain untuk melaksanakan proses nyahkuman mandatori bagi menghadkan lagi pergerakan rakyat untuk berkumpul dan beribadat sehingga proses nyahkuman premis berkenaan lengkap.

2. Mengeluarkan perintah menghalang sebarang perhimpunan, perjumpaan, perkumpulan mahupun mesyuarat yang melibatkan orang ramai melebihi 5 orang sama ada di kawasan terbuka mahupun tertutup bagi tempoh masa tertentu.

3. Mempertimbangkan cadangan untuk menghad pergerakan rakyat dari daerah/negeri yang mempunyai rekod jangkitan yang tinggi untuk keluar ke negeri/daerah lain bagi tujuan membendung jangkitan menular (containment).

4. Memberikan jaminan pekerjaan kepada semua pekerja baik tempatan atau asing sekiranya mereka diarahkan oleh Kerajaan untuk dikuarantin serta diberikan bantuan kewangan dan barangan keperluan asas sepanjang tempoh kuarantin berjalan.

5. Merujuk dan menyampaikan cadangan pihak berkuasa agama dan pengurusan rumah ibadat untuk memberikan ruang untuk rakyat menjalankan ibadat di rumah masing-masing sehingga satu tempoh yang ditentukan oleh pihak berkuasa kesihatan. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit