Aplikasi Mesyuarat Cawangan Untuk Pengukuhan UMNO – Suraya

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Suraya Yaacob berkata mesyuarat cawangan UMNO yang sedang berjalan di seluruh negara merupakan salah satu proses pengukuhan parti yang cukup penting.

Menurut beliau, apa yang paling penting adalah pengukuhan UMNO di akar umbi kerana terdiri dari ahli-ahli di cawangan yang memainkan peranan cukup penting sebagai tunjang dan akar memastikan kesinambungan perjuangan sebagai institusi politik untuk rakyat.

“Kita berharap proses bermesyuarat ini bukan sahaja mesyuarat cawangan, bukan sahaja mengenai pengukuhan silaturrahim sesama ahli parti tetapi kita akan menambah ahli-ahli parti yang baru dalam memastikan pengukuhan UMNO terus berlaku setiap masa.

“Kita percaya dengan senario politik pada hari ini, bukan akan dapat menambah ahli-ahli UMNO malah yakin kehadiran ahli parti ke persidangan cawangan akan lebih meningkat termasuk juga mesyuarat sayap,” ujarnya kepada UMNO Online.

Suraya yang juga Ketua UMNO Bahagian Pendang merangkap Adun Sungai Tiang turut menzahirkan keyakinan bahawa UMNO bahagian berkenaan akan dapat menambah lagi ahli-ahli baru dan menarik minat pelbagai kumpulan sasaran untuk terus bersama-sama dengan parti.

“Alhamdulillah UMNO cawangan di Bahagian Pendang mula bersidang pada 1 Mac. Terdapat 166 cawangan UMNO khususnya di Pendang yang akan mengadakan persidangan masing-masing,” katanya.

Sementara itu mengenai Muafakat Nasional, Suraya yang juga Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah turut menjelaskan bahawa pentingnya ahli-ahli UMNO memahami dan menjiwai Muafakat Nasional itu.

“Prinsip dan semangat Muafakat Nasional ini perlu difahami ahli-ahli parti di peringkat cawangan. Proses mesyuarat cawangan ini perlu digandingkan dengan pemahaman dasar dan semangat Muafakat Nasional.

“Akhirnya bila ahli parti faham dan memahami… kita boleh bekerjasama bersama dengan PAS untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 akan datang,” tegasnya lagi.

Dilaporkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah menetapkan persidangan UMNO Cawangan bermula pada 15 Februari hingga 19 April 2020, diikuti Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 1 Jun hingga 20 Julai 2020. Seterusnya ialah Konvensyen UMNO Negeri-negeri yang dijadualkan bermula 1 Ogos hingga 15 September 2020 sementara Perhimpunan Agung UMNO 2020 ialah pada 26 hingga 31 Oktober 2020 – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.