Annuar Musa Dilantik SUA BN, Tengku Adnan Kekal Bendahari, Datuk Sahfri Setiausaha Eksekutif

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa Dewan Tertinggi BN hari ini telah memutuskan beberapa perkara penting yang berkaitan dengan situasi negara dan politik semasa termasuk melakukan rombakan struktur kepimpinannya.

Katanya, BN melantik Tan Sri Annuar Musa sebagai Setiausaha Agung menggantikan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

“Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kekal sebagai Bendahari BN sebagaimana sebelumnya. Datuk Sahfri Ab. Aziz menggantikan YB Senator Dato’ Dr Ahmad Masrizal Muhammad sebagai Setiausaha Eksekutif BN,” katanya dalam kenyataan media selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN, di ibu pejabat parti tersebut, hari ini.

Maklumnya, BN juga amat mengambil berat soal keadaan negara dan rakyat yang dilihat semakin terkesan akibat daripada serangan COVID-19 yang mula menular di seluruh negara.

“Adalah diingatkan kepada seluruh rakyat agar senantiasa peka dan mengikuti perkembangan yang berlaku mengenai virus ini melalui pemberitahuan yang sah hanya dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

“Paling penting, BN mengharapkan rakyat tidak panik dengan wabak ini tetapi perlu mengambil langkah berjaga-jaga. Juga dinasihatkan kepada seluruh rakyat Malaysia agar tidak mudah mempercayai berita-berita palsu yang semakin kerap ditularkan melalui internet,” katanya lagi. – UMNO Online

[gview file=”https://umno-online.my/wp-content/uploads/2020/03/KENYATAAN-MEDIA.pdf”]

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.