Penggunaan Ungkapan ‘Kerajaan Pintu Belakang’ Hasutan Timbulkan Kebencian – Ahmad Said

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berpandangan mereka yang menggunakan ungkapan ‘kerajaan pintu belakang’ adalah satu istilah yang bertentangan dengan Perlembagaan.

Malah menurut beliau mereka yang mencanangkan ungkapan sedemikian merupakan satu hasutan untuk menimbulkan kebencian terhadap kerajaan semasa yang telah dibentuk secara sah mengikut Perlembagaan.

“Terdapat pihak-pihak yang kecewa dengan kejatuhan Pakatan Harapan (PH) dan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menggunakan istilah kerajaan pintu belakang kepada kerajaan hari ini.

“Apakah istilah itu suatu yang benar? Malaysia mengamalkan rule of law dengan undang-undang bertulis menjadi rujukan. Semua perkara dan istilah dalam pembentukan negara perlu dirujuk kepada Perlembagaan Persekutuan bagi menentukan keabsahan sesuatu perkara itu. Dengan merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan, tidak terdapat pun istilah Kerajaan Pintu Belakang, jadi sudah tentu penggunaan istilah ini adalah tidak tepat serta tidak berperlembagaan.,” katanya menerusi catatan di facebook.

Katanya lagi Perlembagaan Negara dengan jelas membenarkan pertukaran Perdana Menteri atau pembentukan kerajaan apabila PM atau kerajaan memerintah telah tidak mendapat sokongan majoriti ahli dewan dan perkara tersebuy termaktub dalam Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Perubahan kerajaan secara sebegini telah berlaku sebelum ini di Terengganu, Kelantan dan Perak pada peringkat negeri walaupun ini kali pertama berlaku diperingkat Persekutuan.

“Apabila Tun Dr Mahathir meletak jawatan terdapat kekosongan jawatan PM, serta semua barisan Jemaah Menteri yang dibentuk oleh Dr Mahathir akan gugur dengan sendiri dan negara tiada berkerajaan lagi.

“Kita semua dapat melihat proses pembentukan semula kerajaan Persekutuan apabila kerajaan dibentuk dengan perlantikan Tan Sri Muhyiddin oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.